ZURAIDA YANG MENGADA NGADA



Jika Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari pernah memberi alasan tersangkut dalam kesesakan lalu-lintas sebagai sebab tidak hadir mesyuarat MPP PKR, alasan Naib Presiden, Zuraidah Kamaruddin nampaknya lebih mengada-ngada lagi.
Beliau memberi alasan tidak hadir mesyuarat ialah kerana tiga pucuk surat yang dihantar kepada Anwar Ibrahim untuk mengadakan pertemuan tidak dilayan oleh Presiden PKR itu.
Ketiga-tiga surat ialah untuk meminta diadakan pertemuan khusus antara Ahli MPP yang terpilih atau menang bertanding dengan Anwar selaku Presiden PKR.
Kononnya, pertemuan itu dipohon bagi menyelesaikan perselisihan yang berlaku dalam PKR sekarang ini.
Tidakkah alasan Zuraidah ini nampak sangat remeh dan mengada-ngada?
Kenapa mesti ada kumpulan dalam kumpulan dalam PKR?
Bukankah apabila selepas pemilihan, tak kira sama ada yang terpilih atau dilantik, semua mereka adalah sama kedudukannya untuk menjaga parti?
Siapa pun mereka, yang terpilih atau dilantik, adalah bertanggungjawab kepada parti secara keseluruhannya dengan tidak mengambil kira lagi berapa undi yang pernah diperolehi dalam pemilihan sebelumnya.
Semua masalah atau perselisihan dalam parti seharusnya dibincang dalam MPP untuk dicari jalan penyelesaian terbaiknya tanpa ada pengasingan atau pilih bulu sesama sendiri.
Dalam hal ini, kenapa Zuraidah hanya mahu berbincang mengenai perselihan parti dengan Anwar hanya melibatkan mereka menang bertanding saja?
Kenapa takut nak berbincang bersama dengan mereka yang dilantik oleh parti?
Bukankah selepas pemilihan semua orang sepatutnya merapatkan barisan dan mengukuhkan perpaduan, bukan terus merenggangkannya?
Mengapa Zuraidah cuba mewujudkan perbezaan dan darjat yang berbeza seolah-olah yang menang bertanding lebih istimewa berbanding mereka yang dilantik?
Cehhh…..
Maka, elok benar agar Anwar jangan melayan sama sekali surat Zuraidah yang mengada-ngada itu.
Jika dilayan surat seperti itu, pasti akan berleret-leret lagi permohonan untuk mengadakan pertemuan seterusnya selepas ini dan akhirnya beliau ada alasan terbaik untuk tidak hadir langsung dalam mesyuarat parti.
Bakul-sampahkan saja permintaan beliau itu, sebaliknya jika Zuraidah ada masalah mahu dibincangkan, beliau mesti melakukannya dalam mesyuarat MPP atau Biro Politik.
Semua isu hendaklah dibawa secara terbuka dalam mesyuarat dengan semua Ahli MPP, yang terpilih dan dilantik, berhak mendengar dan mengambil bahagian untuk mencari jalan penyelesaiannya.
Jika beliau tidak hadir lagi dalam mesyuarat seterusnya tanpa alasan kukuh atau dengan alasan mengada-ngada memohon pertemuan khusus seperti ini, sudah sampai masanya PKR menguatkuasakan peraturan ponteng mesyuarat sedia ada dengan lebih ketat lagi.
Perangai seperti inilah, jika dibiarkan, merupakan barah yang akan “membunuh” PKR akhirnya. (ShahbudinHusin 28/08/2019)