SEKURANG KURANGNYA BERTERIMA KASIHLAH PADA ANWAR



Sejak semalam dan dijangka diteruskan lagi malam ini, akan dianjurkan perhimpunan oleh masyarakat India di kawasan Little India di Bricfields.
Perhimpunan bertujuan membantah pengenalan pelajaran tulisan jawi untuk sekolah Tamil, membantah Dr Zakir Naik, selain bertujuan menuntut beberapa hak untuk masyarakat India.
Pada mulanya, atas rasa tanggungjawab dan sebagai bakal peneraju negara di masa depan, Anwar Ibrahim telah tampil menggesa penganjur agar menghentikan apa yang mereka rancangkan itu.
Kata Anwar, tiada keperluan lagi untuk mereka berhimpun kerana semua isu-isu yang dibangkitkan itu sudah pun reda keadaannya.
Lebih-lebih lagi, tambah Anwar, Dr Zakir sudah dilarang oleh pihak polis untuk menyampaikan ceramahnya, maka meneruskan bantahan hanya akan memanaskan suhu politik serta mengundang pelbagai reaksi.
Bagaimanapun, gesaan itu tidak dipedulikan oleh penganjur dan perhimpunan malam tadi tetap diteruskan, walaupun tiada kejadian tidak diingini dilaporkan berlaku.
Malam ini, mereka dijangka akan meneruskan perhimpunan lagi di kawasan sama dengan lebih besar, meski sudah dimaklumkan bahawa pihak polis tidak mengeluarkan sebarang permit mengenainya.
Hebahan melalui pelbagai saluran media sosial dilaporkan tetap giat mengajak orangramai hadir ke perhimpunan tersebut.
Sekali lagi, atas rasa tanggungjawab dan bimbang keadaan tidak diingini berlaku, Anwar telah mengambil inisiatif menghubungi penganjur dan merayu agar membatalkan perhimpunan malam ini.
Sambil sedia bertemu mereka pada minggu depan, Anwar juga berjanji untuk membantu masyarakat India dalam beberapa isu yang mereka bangkitkan.
Akhirnya, penganjur sedia membatalkan perhimpunan yang dijadual pada malam ini.
Selesai masalah!!
Meskipun begitu, ada yang tidak selesai rupanya kerana ramai yang menyindir, terutama di kalangan mereka yang takut Anwar akan menjadi Perdana Menteri dengan mengatakan bahawa ini semua adalah “permainan” dan “lakonan” belaka.
Nampaknya mereka ini tidak langsung mahu menghargai usaha-usaha baik yang cuba dilakukan oleh Anwar untuk negara ini.
Yang nyata, Anwar telah berusaha melalui kemampuan yang ada padanya untuk meredakan keadaan yang berisiko menuju huru-hara. Itulah tanggungjawab namanya.
Tidak mungkin Anwar mahu mencipta permainan atau berlakon yang boleh menjejaskan masa depan dan keharmonian negara.
Kalau Anwar tidak berbuat apa-apa, sudah tentu beliau lebih dikecam lagi.
Setidak-tidaknya pun, patutnya berterima kasihlah kepadanya.
Jika tanpa usaha dan inisiatif beliau, kita tidak tahu apa jadi akhirnya.
Dalam hal ini, yang sedikit mengecewakan ialah sikap pemimpin-pemimpin India yang ada dalam kerajaan yang nampaknya hanya berdiam diri dan tidak berbuat apa-apa.
Sepatutnya, merekalah yang paling awal campurtangan, baik mengeluarkan kenyataan atau menghubungi penganjur agar membatalkan perhimpunan.
Ini kerana, mereka tahu keputusan kerajaan baik dalam isu Dr Zakir yang tidak lagi dibenarkan berceramah atau dalam bab tulisan jawi yang hanya akan dilaksanakan jika mendapat kebenaran PIBG di sekolah masing-masing.
Tetapi, oleh kerana tiada pemimpin India yang tampil, terpaksalah Anwar berbuat demikian.
Di mana lagi salahnya Anwar? (Shahbudindotcom 24/08/2019)

KERJASAMA UMNO-PAS DIPERTIKAI AKAR UMBI?

JALUR GEMILANG TERBALIK: PERLU AKTA BAHARU TANGANI KEADAAN

TIADA BUKTI KERAJAAN PH AMAL LIBERALISASI AGAMA, KRISTIANINASI