Jalur Gemilang terbalik: Perlu akta baharu tangani keadaan
Kempen laskar siber (cybertrooper) pembangkang menghasut rakyat agar percaya anasir bukan Melayu penyokong Pakatan Harapan melancarkan bantahan senyap memasang bendera Malaysia secara terbalik mendapat perhatian pakar perlembagaan Dr Aziz Bari
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi berkata, tidak ada undang-undang khusus digubal mengenai Jalur Gemilang dan kaedah pemasangannya.
Susulan itu, Aziz mencadangkan kerajaan Persekutuan mengusulkan undang-undang baharu ke Parlimen kerana akta mengenainya didapati tidak khusus dan bercerai-cerai.
Akta yang dicadangkan jelasnya perlu dengan terperinci menjelaskan bentuk, warna dan cara memasang Jalur Gemilang termasuk menyenaraikan tindakan-tindakan yang dianggap menyalahi undang-undang.
“Perkara yang sama juga perlu dibuat untuk bendera negeri-negeri. Langkah sedemikian perlu bagi mengelakkan isu-isu remeh terus dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu serta menghentikan tindakan melampau,” katanya dipetik.
Komen itu dibuat beliau setelah menjadi mangsa kecaman berhubung kenyataan beliau yang disalahtafsirkan.
Naib Pengerusi DAP Perak itu sebelum ini digambarkan seolah-olah berkata ‘tidak menjadi kesalahan memasang Jalur Gemilang terbalik’.
“Saya kata apa kena mengena bendera terbalik (Jalur Gemilang) dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong? Saya juga tak suruh pun orang pasang bendera terbalik,” katanya lagi.
Baru-baru ini, Aziz dilapor berkata, tiada undang-undang yang menyatakan memasang Jalur Gemilang secara terbalik merupakan satu kesalahan. RF8 Media