Anak muda PH, warga emas BN ‘bersilat’ di Semenyih
Pakatan Harapan (PH) menampilkan anak muda berusia 30 tahun sebagai calon bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih, 2 Mac depan.
Bendahari Bersatu Hulu Langat, Muhammad Aiman Zainali yang merupakan seorang jurutera diumumkan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, di Taman Pelangi petang tadi.
Muhammad Aiman yang juga menantu bekas Adun Semenyih, Bakhtiar Mohd Nor sedang mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Bapa kepada seorang anak itu bakal ‘bersilat’ dengan calon BN, Zakaria Hanafi, 58, yang merupakan bekas Pengerusi Tetap Umno Cawangan Kampung Sesapan Kelubi, Beranang.
Nama bekas pegawai pentadbir Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu diumumkan Pemangku Pengerusi BN, Mohamad Hasan hari ini.
Kerusi Dun Semenyih yang terletak di bawah Parlimen Hulu Langat terdiri daripada 68 peratus pengundi Melayu.
TUN NAK TUKAR KE MANA?
"Kadang-kadang kita kena tukar pendirian mengikut apa yang berlaku di sekeliling kita.
"Saya dulu parti UMNO, saya join dengan parti DAP, Keadilan (PKR) dan Amanah tapi kalau DAP, Keadilan (PKR) dan Amanah membelot dan tidak lagi setia kepada negara, saya akan tukar kepada parti lain."
Petikan di atas adalah sebahagian daripada kata-kata yang dilafazkan oleh Tun Mahathir Mohamad dalam sidang media di Putrajaya, Selasa lalu ketika menerima kemasukan enam Ahli Parlimen UMNO ke dalam Bersatu.
Apakah mesej yang Pengerusi PH itu mahu sampaikan?
Adakah ini bermakna Bersatu tidak lagi mempunyai yang baik dengan DAP, PKR dan Amanah?
Kalau berpisah dan tanpa sokongan tiga parti itu, bagaimanakah Tun Mahathir mahu mengekalkan jawatan Perdana Menterinya?
Adakah ini menandakan Tun Mahathir bakal berundur dan tidak lagi akan bersama PH sebaik saja Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri?
Tetapi, kalau Tun Mahathir mahu bertukar haluan, kepada parti manakah beliau akan pergi?
Adakah mungkin beliau akan kembali semula ke pangkuan UMNO?
Hehehehe....
Bagaimana dengan Pas?
Masihkah Pas mahu terus bekerjasama dengan UMNO jika ada Tun Mahathir di dalam parti tersebut? (ShahbudinHusin 14/02/2019)
KALAU BERSATU SUDAH JADI UMNO 2.0, APA RELEVANNYA LAGI PH TERUS WUJUD?
Matlamat utama perjuangan PH dalam PRU14 lalu, selain mahu menyingkirkan Najib Razak yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, juga ialah untuk mengenepikan UMNO daripada puncak kuasa.
Alasannya kerana UMNO bukan lagi dilihat sebagai parti yang memperjuangkan orang Melayu, tetapi telah bertukar menjadi parti yang digunakan untuk membela Najib semata-mata.
Di ketika yang sama didendangkan pula bahawa Bersatu adalah wadah baru yang akan menjadi pengganti kepada UMNO.
Apabila akhirnya PH diberikan kemenangan melalui peti-peti undi, maksud yang mudah difahami ialah rakyat telah menolak UMNO bersama para pemimpinnya sekali.
Dalam ertikata lain, rakyat tidak percaya lagi kepada para pemimpin UMNO untuk mentadbir negara ini, sebaliknya mahu mereka diganti dengan pemimpin-pemimpin baru yang tiada liabiliti atau skandal sebagaimana sebelumnya.
Di peringkat awal kemenangan, Tun Mahathir Mohamad sendiri tegas mengatakan PH tidak akan menerima mana-mana pemimpin UMNO yang mahu menyertai Bersatu atau lain-lain parti dalam gabungan yang sudah menjadi kerajaan itu.
Dengan peredaran masa apabila ada beberapa Ahli Parlimen UMNO keluar parti, Tun Mahathir kemudian berkata, mereka yang terbabit itu mestilah menjadi Ahli Parlimen Bebas dalam tempoh tertentu terlebih dahulu atau tempoh bertenang sebelum boleh diterima menyertai Bersatu.
Apabila disebut ada tempoh bertenang sebelum boleh memohon menjadi ahli, tempoh yang biasanya ditetapkan ialah sekurang-kurangnya enam bulan, setahun atau lebih daripada itu.
Sayangnya, Tun Mahathir nyata mungkir janji dengan kata-katanya sendiri. Mustapha Mohamad, Ahli Parlimen Jeli tiba-tiba diterima menjadi ahli Bersatu hanya kira-kira sebulan selepas beliau mengumumkan keluar UMNO.
Begitu juga dengan enam Ahli Parlimen UMNO yang keluar parti pada Disember lalu, kemasukan mereka ke dalam Bersatu telah disahkan semalam, sambil terus diberikan kad keahlian.
Di Sabah pula, para pemimpin UMNO yang mengumumkan keluar parti baru-baru ini masih tidak henti-henti berusaha dan melobi untuk membawa Bersatu ke negeri tersebut.
Meskipun sudah ada perjanjian dengan Warisan, Tun Mahathir dalam perkembangan terbaru, juga dinyatakannya semalam, pihaknya tidak terikat dengan pendirian parti tersebut sama ada memutuskan mahu melebarkan sayapnya ke Sabah atau tidak.
Dalam waktu yang sama, dikhabarkan juga ada lagi beberapa Ahli Parlimen UMNO bakal menyeberang untuk menyertai Bersatu dalam waktu terdekat ini.
Selain difahami bahawa tujuan utama Tun Mahathir menarik satu demi satu gerombolan pemimpin UMNO menyertai Bersatu adalah untuk menguatkan kedudukannya dan sekaligus membolehkannya memungkiri janji peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim, persoalan lain yang timbul ialah apa jadi akhirnya kepada parti serpihan UMNO itu?
Tidakkah Bersatu perlahan-lahan akan bertukar menjadi UMNO 2.0 sudahnya?
Jika Bersatu sudah bertukar menjadi UMNO 2.0, bukankah perjuangan menumbangkan UMNO sebelum ini hanya sia-sia belaka?
Sebab itu, sudah sampai masanya Majlis Presiden PH mengambil satu ketetapan tegas dalam hal ini. Membiarkan Tun Mahathir menjadikan Bersatu sebagai UMNO 2.0 dan PKR, DAP serta Amanah terus bekerjasama dengan parti itu tentu saja mengundang rasa kecewa tak terperi kepada rakyat yang telah memenangkan PH dalam pilihanraya umum lalu.
Tun Mahathir selaku Pengerusi PH seterusnya mesti disedarkan bahawa PH bukanlah BN 2.0 di mana beliau selaku Perdana Menteri boleh bertindak sesuka hati dan semua orang lain mesti menurut kata-katanya sebagaimana beliau berkuasa selama 22 tahun sebelum ini.
Malah, kiranya Majlis Presiden gagal mengawal Tun Mahathir dan membiarkan UMNO 2.0 berada dalam PH, sejujurnya PKR, DAP dan Amanah tidak relevan lagi untuk terus berada dalam gabungan kerajaan itu. (ShahbudinHusin 13/02/2019)
MENGAPA BERSATU TERIMA SAMPAH UMNO? – RONNIE LIU
Mengapa Bersatu terima sampah Umno? – Ronnie Liu
Tindakan Pengerusi Dr Mahathir Mohamad menerima penyertaan tujuh bekas ahli parlimen (MP) Umno ke dalam Bersatu disifatkan mengecewakan.
Setiausaha DAP Selangor Ronnie Liu mengingatkan Mahathir pernah berjanji tidak akan menerima anggota parlimen Umno, sebelum pilihan raya umum lalu.
“Saya tahu kerana saya berada di sana. Saya mendengarnya dengan telinga saya sendiri. Dan saya percaya kepadanya.
“Ia benar-benar tindakan mengecewakan yang dilakukan oleh Dr M, menerima sampah seperti ini.
“Jadi apa yang berlaku jika lebih banyak katak daripada Umno meninggalkan kapal dan meminta untuk menyertai Bersatu.
“Adakah Bersatu akan membawa mereka secara beramai-ramai seperti ini? Adakah kita menyaksikan pengambilalihan Bersatu oleh bekas orang Umno,” kata Ronnie di Facebooknya, hari ini.
Mahathir semalam menerima kemasukan tujuh MP bebas yang sebelum ini bersama Umno ke dalam Bersatu, semalam.
Mahathir menyerahkan kad keanggotaan Bersatu kepada anggota parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsuddin, Hamzah Zainuddin (Larut), Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah); Abdul Latiff Ahmad (Mersing) dan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam).
Rosol Wahid (Hulu Terengganu) tidak sempat menerimanya semalam kerana dalam perjalanan ketika majlis berlangsung.
Mereka keluar Umno pada Disember lalu.
Ketika ini Bersatu mempunyai 22 ahli parlimen.
Ronnie turut mempersoalkan sama ada kesemua pemimpin yang keluar parti itu telah diperiksa dengan sebaiknya sebelum diterima masuk menyertai parti komponen di dalam Pakatan Harapan (PH).
Beliau turut memetik kenyataan Naib Presiden DAP Chang Lih Kang bahawa rakyat telah membuat keputusan untuk menolak BN pada PRU14.
“Kita tidak seharusnya menentang kehendak mereka (rakyat) untuk mengembalikan anggota parlimen dari bekas rejim ke dalam gabungan kerajaan baru.
“Ia adalah satu pengkhianatan terhadap keputusan rakyat. Ini bukan apa yang rakyat mengundi dalam PRU14,” katanya.
KES DITUNDA, NAJIB TAKUT KE MAHKAMAH? – NG SUEE LIM
Kes ditunda, Najib takut ke mahkamah? – Ng Suee Lim
Penundaan tarikh perbicaraan dakwaan penyelewengan dana SRC International ke atas Najib Razak menimbulkan tanda tanya ke atas prinsip ‘berani kerana benar’ bekas PM itu.
Menurut Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim, Najib tidak perlu bersetuju ke atas penangguhan perbicaraan kesnya memandangkan beliau sebelum ini berkempen seolah-olah dakwaan ke atas beliau bersifat politik dan boleh dipatahkan di mahkamah.
“Dulu Najib pernah kata beliau berani hadir di mahkamah untuk membuktikan bahawa beliau tidak bersalah tetapi sekarang kes itu ditunda. Apa makna perkara ini?” tanyanya.
Suee Lim berpendapat kes yang melibatkan kepentingan awam seperti itu tidak boleh ditunda terlalu lama sehingga menyebabkan rakyat kecewa serta mengurangkan keyakinan negara luar terhadap sistem perundangan Malaysia.
“Saya rasa ia tidak boleh ditunda terlalu lama sebab kes ini melibatkan penyelewengan wang di pentas antarabangsa yang melibatkan beberapa negara sehingga DOJ (Department of Justice) di Amerika Syarikat pun menyiasat hal ini.
“Kes 1MDB telah memberikan imej yang sangat teruk kepada Malaysia dan nama Najib pun sudah terkenal di peringkat antarabangsa dalam isu penyelewengan dan salah guna kuasa. Ini bererti kredibiliti dan kewibawaan negara kita akan diuji dalam kes berkaitan beliau.
“Seluruh dunia sedang memerhatikan proses kehakiman di Malaysia. Oleh itu, segalanya mesti dijalankan dengan sempurna dan puak yang bersalah wajib dikenakan hukuman yang setimpal, tidak kira siapa jua yang bersalah itu,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Selain itu, Suee Lim juga menegaskan ramai usahawan tempatan yang berpendapat selagi kes penyelewengan besar seperti SRC atau 1MDB belum diselesaikan, pertumbuhan ekonomi negara akan kekal terbantut. Pelabur asing juga katanya akan ragu-ragu untuk menanam modal sekiranya perundangan Malaysia dilihat tidak mampu bertindak tegas terhadap penyelewengan pegawai kanan kerajaan.
Sebelum ini, kes mahkamah Najib yang dijadual dibicarakan pada 12 Februari telah ditunda susulan keputusan tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Ahmadi Asnawi membenarkan permohonan penangguhan sementara mahkamah mendengar dan memutuskan rayuan Najib berhubung tindakan pendakwaan menarik balik sijil pindah kes berkenaan.
Bekas PM itu pada 8 Februari lalu memfailkan permohonan penangguhan kerana ingin mencabar kesahihan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang menerajui panel dalam kes penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.
NIK ABDUH KATA BOLEH BOHONG DEMI JAGA PAS?
Nik Abduh kata boleh bohong demi jaga Pas?
Anggota parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abuh Nik Abdul Aziz mempertahankan tindakan beliau menafikan kesahihan suaranya dalam audio PAS menerima dana daripada Umno itu adalah langkah yang tepat.
Katanya, dalam soal menjaga kerahsiaan parti perkara itu juga pernah diamalkan oleh ayahnya, allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika memimpin PAS.
“Ia hanya soal kerahsiaan dan bila kita berada dalam parti besar apatah lagi parti Islam, maka soal kerahsiaan itu adalah sesuatu yang valid, ada ilmunya dalam agama. Banyak contoh-contohnya.
“Saya buat contoh yang dekat kita di Kelantan ini ialah dalam isu baiah, taklid talak (isteri) terhadap wakil rakyat PAS di Kelantan. Apabila dokumen itu tular, almarhum tok guru Nik Aziz ditanya dan dia menafikan sekeras-kerasnya.
“Maknanya kalau nak kata bohong pun bohonglah, tapi ia bab kerahsiaan. Dia menjaga rahsia wujudnya baiah itu walaupun dah bocor sampai ke mati,” katanya kepada media di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, semalam.
Allahyarham Nik Abdul Aziz, bekas mursyidul am PAS dan menteri besar Kelantan.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu penafiannya terhadap rakaman audio penerimaan dana daripada Umno melibatkan pimpinan PAS yang tersebar sebelum ini.
Bagaimanapun PAS semalam mengesahkan Nik Abduh mengakui kesahihan audio itu mengandungi suaranya.
Susulan itu, Nik Abduh tampil mengakui perkara itu dalam satu hantaran panjang di Facebooknya hari ini.
Dalam hantaran itu, beliau antara lain berkata membuat penafian selepas pimpinan PAS berkeras agar beliau berbuat demikian dan ia mendapat restu Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Sebelum itu, Hadi berkata beliau menyerahkan soal itu kepada Nik Abduh sendiri.
“Nik Abduh sendiri (yang cakap), bukan saya, terpulang pada Nik Abduhlah. Mungkin orang lain menafikan, tapi Nik Abduh tahulah dia cakap,” kata Hadi.
Mengulas lanjut, beliau yang juga anggota parlimen Bachok berkata pengalamannya sebagai anak menteri besar mengajarnya bagaimana untuk mengendalikan soal-soal rahsia.
“Almarhum ayah banyak ajar. Saya sebagai anak MB banyaklah tahu rahsia, apa yang orang tak nak beritahu ayah, mereka beritahu saya.
“Jadi ada kala banyak rahsia saya nak tanya tok guru (Nik Aziz). (Bila) terlepas tanya dia marah sebab tak mahu rahsia dibawa ke luar.
“Itu mengajar saya bila kita di dalam parti besar, kena jaga rahsia dan bila saya buat keputusan untuk menafikan (rakaman suara), itu dengan niat untuk mengajar budak-budak (mereka yang hadir ketika rakaman dan sedia menjadi saksi) yang saya sebutkan tadi,” katanya lagi.
Beliau berkata penafiannya sebelum ini demi mengelak masalah lebih besar terhadap PAS.
“Kita mesti mengajar disiplin (dalam parti). Saya sudah sebut bahawa berhak untuk bercakap benar, tetapi tangguh dulu, berbincang dengan kawan-kawan dalam parti kerana ia libatkan jemaah.
“Ini bukan soal reputasi saya (tapi) parti. Saya yakin keputusan itu diberkati Allah, PAS masuk pilihan raya dengan gagah dan kita berjaya menambah kekuatan,” katanya lagi.
Beliau sekali lagi menegaskan ucapannya ketika itu perlu difahamkan mengikut konteks sebenar.
“Malah yang baca tulisan (pengakuan) saya pun ada lagi tak faham sebab tak tahu cerita sebenar. Saya menulis tadi pun dalam keadaan sukar,” katanya lagi