Kes ditunda, Najib takut ke mahkamah? – Ng Suee Lim
Penundaan tarikh perbicaraan dakwaan penyelewengan dana SRC International ke atas Najib Razak menimbulkan tanda tanya ke atas prinsip ‘berani kerana benar’ bekas PM itu.
Menurut Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim, Najib tidak perlu bersetuju ke atas penangguhan perbicaraan kesnya memandangkan beliau sebelum ini berkempen seolah-olah dakwaan ke atas beliau bersifat politik dan boleh dipatahkan di mahkamah.
“Dulu Najib pernah kata beliau berani hadir di mahkamah untuk membuktikan bahawa beliau tidak bersalah tetapi sekarang kes itu ditunda. Apa makna perkara ini?” tanyanya.
Suee Lim berpendapat kes yang melibatkan kepentingan awam seperti itu tidak boleh ditunda terlalu lama sehingga menyebabkan rakyat kecewa serta mengurangkan keyakinan negara luar terhadap sistem perundangan Malaysia.
“Saya rasa ia tidak boleh ditunda terlalu lama sebab kes ini melibatkan penyelewengan wang di pentas antarabangsa yang melibatkan beberapa negara sehingga DOJ (Department of Justice) di Amerika Syarikat pun menyiasat hal ini.
“Kes 1MDB telah memberikan imej yang sangat teruk kepada Malaysia dan nama Najib pun sudah terkenal di peringkat antarabangsa dalam isu penyelewengan dan salah guna kuasa. Ini bererti kredibiliti dan kewibawaan negara kita akan diuji dalam kes berkaitan beliau.
“Seluruh dunia sedang memerhatikan proses kehakiman di Malaysia. Oleh itu, segalanya mesti dijalankan dengan sempurna dan puak yang bersalah wajib dikenakan hukuman yang setimpal, tidak kira siapa jua yang bersalah itu,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Selain itu, Suee Lim juga menegaskan ramai usahawan tempatan yang berpendapat selagi kes penyelewengan besar seperti SRC atau 1MDB belum diselesaikan, pertumbuhan ekonomi negara akan kekal terbantut. Pelabur asing juga katanya akan ragu-ragu untuk menanam modal sekiranya perundangan Malaysia dilihat tidak mampu bertindak tegas terhadap penyelewengan pegawai kanan kerajaan.
Sebelum ini, kes mahkamah Najib yang dijadual dibicarakan pada 12 Februari telah ditunda susulan keputusan tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Ahmadi Asnawi membenarkan permohonan penangguhan sementara mahkamah mendengar dan memutuskan rayuan Najib berhubung tindakan pendakwaan menarik balik sijil pindah kes berkenaan.
Bekas PM itu pada 8 Februari lalu memfailkan permohonan penangguhan kerana ingin mencabar kesahihan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang menerajui panel dalam kes penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.