Setelah Mohamad Yusoff Rawther menjalani ujian poligraf semalam di Bukit Aman, ramai yang mendesak agar Anwar Ibrahim juga menjalani ujian yang sama.
Kata mereka, jika Yusoff berani menjalani ujian itu, tidak ada sebab Presiden PKR itu takut melakukannya.
Menyedapkan lagi rencah penceritaan, mereka menambah, sebagai bakal PM8 adalah penting untuk Anwar memperlihatkan keberanian dan kredibilitinya dalam perkara itu dengan turut sama berani melakukan ujian poligraf terhadapnya.
Seolah-olah, pada tanggapan sesetengah orang, hanya dengan berani menjalani ujian tersebut, kebenaran sudah dapat diserlahkan.
Harus difahami bahawa ujian poligraf adalah untuk menentukan sama ada seseorang itu bercakap benar atau tidak dalam sesuatu penyiasatan.
Ketika menjalani ujian poligraf, seseorang akan diletakkan beberapa sensor di badannya, biasanya antara 4 hingga 6, bagi tujuan merekodkan kadar degupan jantung, denyutan nadi, tekanan darah dan perpeluhan.
Ketika ujian dijalankan, pergerakan kaki dan tangan juga direkodkan.
Semua dapatan pada sensor dan pergerakan kaki serta tangan akan dianalisa untuk menentukan sama ada seseorang itu bercakap benar atau bohong.
Begitu pun, ujian poligraf ini bukanlah 100 peratus tepat kerana seseorang yang berlatih berhari-hari atau biasa dengan sesuatu perkara mungkin berjaya meminimakan degupan jantung dan denyutan nadinya, sekaligus kadar berpeluh di badannya akan berkurangan.
Dengan yang demikian, sebagaimana biasa kita tonton dalam filem-filem Hollywood, ramai yang terlepas dalam ujian poligraf ini.
Adakah Anwar benar-benar perlu menjalani ujian poligraf?
Dalam kes ini, yang sangat perlu menjalani ujian poligraf ialah Yusoff dan bukannya Anwar.
Ini kerana beliau adalah pihak yang membuat tuduhan, maka jika tuduhannya menimbulkan keraguan, ia mestilah dipastikan benar terlebih dahulu.
Di pihak Anwar, keperluannya adalah menyediakan pembelaan atau alibi terhadap tuduhan yang ditujukan kepadanya, bukan ditentukan sama ada beliau bercakap benar atau sebaliknya.
Namun demikian, jika pihak berkuasa mendapati Anwar juga perlu menjalani ujian itu, sama seperti yang telah dilalui oleh Yusoff, pastinya beliau tidak akan menolak ujian seperti itu.
Anwar adalah pejuang kebenaran dan beliau tidak pernah takut kepada kebenaran. (ShahbudinHusin 18/12/2019)