Tuduhan serangan seksual: Penyokong kata harapan Anwar jadi PM makin tipis



PETALING JAYA: Penyokong Anwar Ibrahim berkata peluang untuk mereka melihat presiden PKR itu menjadi perdana menteri semakin kabur susulan kenyataan terbaru Dr Mahathir Mohamad bahawa peralihan kuasa akan berlaku selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), November tahun depan.

Setiausaha Otai Reformis, Abdul Razak Ismail berkata, ia ditambah pula dengan tuduhan terbaru terhadap Anwar membabitkan serangan seksual, yang menipiskan lagi harapan untuk melihat peralihan kuasa tersebut.

Beliau bagaimanapun berkata segala kenyataan dan janji Mahathir tidak boleh dipercayai.

“Apa perkataan daripada Mahathir langsung kami tak boleh percaya sebab mengikut perundingan awal, bulan Mei ini dia akan lepas jawatan, tapi nampaknya kenyataan terbaru kata sampai selepas APEC pula pada November, ini pun tak boleh dipercayai,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan terbaru Mahathir semasa ditemubual Reuters yang berjanji akan menyerahkan kuasa kepada Anwar, walaupun presiden PKR itu berdepan dakwaan serangan seksual terbaru.

Perdana menteri berkata, beliau tidak akan menyerahkan kuasa sebelum APEC di Kuala Lumpur pada November tahun depan, tetapi akan berbuat demikian selepas itu.

Bukit Aman semalam mengambil keterangan Anwar selepas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther mendakwa presiden PKR itu melakukan salah laku moral terhadapnya.

Mengulas lanjut, Razak berkata pihaknya merasakan Anwar mungkin dipenjarakan sebelum APEC.

“Macam cara mereka ambil sekarang ini, siasatan yang begitu cepat tentang kes Anwar tak sampai seminggu, padahal kes Mohamed Azmin Ali berhubung video yang pernah Otai bangkitkan begitu lama siasatan diambil, sedangkan bukti jelas dengan video dan sebagainya, kenapa tak diambil tindakan tapi Anwar begitu cepat.

“Saya lihat begitu (cubaan menghalang Anwar menjadi perdana menteri), ia (skandal terbaru) sebagai langkah pembunuh karektor. Ia akan memberi tanggapan bahawa Anwar tidak layak menjadi perdana menteri, jadi ada alasan untuk Mahathir kekal sepenggal,” katanya.

Razak menambah, Otai Reformis tidak menolak untuk turun ke jalanan jika nasib Anwar terus teraniaya termasuk usaha menghalangnya menjadi perdana menteri.

“Kami sebenarnya sedang kumpul kekuatan, besar kemungkinan kita turun, sebab rakyat masih ada lagi yang semangat walaupun ada yang tua daripada kalangan Otai.”