Semalam Najib Razak melakukan sumpah laknat Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur bagi menafikan tuduhan yang terkandung dalam Akaun Bersumpah atau SD Azilah Hadri yang mengaitkannya dengan pembunuhan Altantuya Sharibuu.
Lafaz sumpah beliau adalah:-
“Wallahi, wabillahi, watallahi.
“Alhamdulillah, sejak saya memasuki usia taklif hingga saat ini, saya tidak pernah mengarahkan mana-mana individu untuk membunuh seorang wanita warganegara Mongolia bernama Altantuya Shaariibuu.
“Malah saya tak pernah berjumpa dan tak mengenali mendiang sama sekali. Jika saya berdusta maka laknat Allah SWT ke atas diri saya.
“Dan jika saya benar, maka mereka yang memfitnah saya dan tidak bertaubat akan dilaknat oleh Allah SWT di dunia dan akhirat”.
Walaupun telah melakukan sumpah, dari segi undang-undang negara, ia tidak bermakna Najib telah bersih dan suci sepenuhnya daripada pembunuhan itu.
Ia juga tidak bermakna SD Azilah itu sebagai palsu dan tidak benar dan beliau dianggap telah melakukan fitnah terhadap Najib.
Selain kebenaran yang sebenar-benarnya hanyalah milik Allah, dengan tindakan berani Najib melakukan sumpah laknat ini, keperluan untuk membuka semula kes perbicaraan Altantuya dengan sendirinya menjadi lebih tinggi.
Pihak kerajaan melalui Jabatan Peguam Negara kini tidak ada pilihan lain selain perlu mengarahkan kes tersebut dibicarakan semula.
Malah, kalau boleh, perbicaraan mesti diadakan dalam kadar yang segera kerana kes ini dianggap membawa kepentingan yang tinggi kepada orang awam, rakyat serta negara seluruhnya.
Perbicaraan semula itu bukan saja selaras dengan kehendak rakyat yang mahu tahu kebenaran kes pembunuhan Altantuya, malah sebenarnya sesuai juga dengan keinginan Azilah dan Najib sendiri.
Apabila Azilah membuat SD yang mendakwa Najib telah mengarahkannya membunuh Altantuya, beliau tentulah melakukannya dengan niat serta tujuan agar perbicaraan dapat dibuka semula dan sekaligus membuka ruang kepada pembebasannya daripada pembebasannya daripada hukuman gantung yang diterimanya sebelum ini.
Begitu juga apabila Najib sedia melakukan sumpah laknat menafikan dakwaan Azilah itu, beliau sebenarnya berbuat demikian agar perbicaraan dapat dibuka semula.
Bermakna, baik Azilah mahu pun Najib, kedua-duanya memang mahukan perbicaraan semula diadakan.
Hanya dengan adanya perbicaraan semula serta memanggil kembali semua saksi-saksi yang relevan seperti Abdul Razak Baginda, bekas ketua pengawal peribadi Najib, DSP Musa Safri dan lain-lainnya, maka barulah dapat diketahui siapa sebenarnya yang mengarahkan pembunuhan Altantuya itu.
Apabila diketahui siapa yang mengarahkan pembunuhan itu, itulah sebesar-besar pesalah atau keparat yang sebenarnya.
Selama ini hanya diketahui Azilah Hadri dan Sirul yang melakukan pembunuhan itu, tetapi kerana kedua-duanya tiada motif yang jelas membunuh Altantuya, siapa yang mengarahkan mereka masih lagi misteri.
Apa lagi ketika menjatuhkan hukuman gantung terhadap Azilah dan Sirul, hakim telah mengatakan motif pembunuhan tidak penting diketahui, walaupun ia adalah relevan.
Melalui perbicaraan semula nanti akan turut membolehkan kita mengetahui sama ada SD Azilah yang mengaitkan Najib dalam pembunuhan itu sebagai palsu atau sebaliknya.
Juga akan diketahui kenapa tiba-tiba SD itu muncul dan mungkinkah ada sesiapa mengarahkan Azilah berbuat demikian.
Bahkan, dengan perbicaraan semula juga akan diketahui kebenaran tentang sumpah laknat yang dilafazkan Najib semalam dan lebih daripada itu, dengan kehendak Allah, tidak mustahil laknat akan turut menyusul kepada sesiapa yang berbohong dan pelaku sebenar yang menyebabkan kematian Altantuya. (ShahbudinHusin 21/12/2019)