‘Wajib songkok’ di Kelatan tak masuk akal
Keputusan Kerajaan Kelantan untuk mewajibkan pemakaian songkok dalam kalangan penjawat awam lelakinya setiap hari Khamis dianggap sebagai idea “tidak masuk akal”.
Mohamed Ghouse Nasuruddin, profesor emeritus seni persembahan di Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, keputusan itu hanya sekadar retorik yang tidak menyumbang apa-apa bagi membaiki kebajikan hidup rakyat di negeri itu.
Tegasnya, apa yang perlu dilakukan kerajaan negeri pimpinan PAS itu sepatutnya adalah memberi perhatian pada pembangunan ekonomi,
Dipetik laporan FMT, Mohamed Ghouse menyifatkan arahan pemakaian songkok itu sebagai “bodoh” dan menghindari tugas meningkatkan produktiviti ekonomi yang “lebih penting”.
Tambahnya kerajaan negeri itu gagal mengurus ekonomi Kelantan, namun mempunyai kecenderungan untuk lebih mengutamakan bentuk berbanding isi dalam usaha menonjolkan sisi Islamnya.
Malah arahan itu dakwanya lagi seolah-olah mengetepikan imej ahli PAS yang gemar memakai kopiah dan parti itu kini seolah-olah mahu dilihat seperti Umno yang kebanyakan ahlinya memakai songkok dalam acara rasmi parti itu.
“Mungkin mereka mahu mengambil hati Umno dan mungkin Umno akan memakai kopiah sekarang,” katanya.
Berdasarkan satu arahan bertarikh 19 Dis yang berkuat kuasa serta-merta mereka dikehendaki memakai songkok setiap Khamis.
Pada Rabu timbalan setiausaha kerajaan negeri Tengku Azmin Jaafar berkata, arahan itu selari dengan usaha mempromosi imej Islam Kelantan.