PTPTN: PH telah tunai 3/4 janji manifesto
Ungkapan ‘kencing’ tidak sesuai digunakan ke atas kegagalan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji, khusus dalam kes Program Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)
Pengerusi perbadanan itu Wan Saiful Wan Jan berkata, tidak ramai yang sedar bahawa kerajaan PH telah melaksanakan tiga dari empat perkara yang dijanjikan.
“Dalam janji manifesto ada empat (janji). Pertamanya, pelajar cemerlang diberi pelupusan (pinjaman) jika datang dari keluarga B40 dan M40, dan kedua, sekatan imigresen dihapuskan.
“Janji ketiga ialah anak muda yang tidak mampu bayar kita bagi pilihan majikan diberi insentif untuk tolong bayar, dan ini pun kita mulakan,” katanya dalam forum Bicara Politikonomi yang disiarkan di RTM1, malam tadi.
Tambah beliau, hanya satu saja janji yang masih tidak dapat dilaksanakan kerajaan iaitu menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada peminjam berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan.
PTPTN ketika ini masih berusaha untuk menunaikan janji tersebut, dan berdepan dengan kesukaran akibat kekurangan peruntukan, katanya.
“Daripada empat janji, tiga sudah terlaksana. Ini sebenarnya satu pencapaian yang boleh dibanggakan,” katanya.
Sewaktu kempen Pilihan Raya Umum ke-14, PH dalam manifestonya menawarkan untuk memansuhkan larangan perjalanan luar negara bagi peminjam ingkar dan menangguhkan bayaran bagi graduan berpendapatan bawah RM4,000.
Bagaimanapun kerajaan dikritik kerana gagal menunaikan janjinya untuk PTPTN.
Pada tahun lalu, kerajaan mengumumkan skim bayaran mengikut pendapatan, namun tidak diteruskan ekoran pelbagai kritikan
PTPTN juga kini tidak lagi meneruskan diskaun 20% kepada peminjam yang mahu melangsaikan keseluruhan pinjaman.
PTPTN kini hanya menawarkan penangguhan tidak melebihi 24 bulan untuk peminjam yang tidak mendapat pekerjaan, dan juga penangguhan untuk peminjam yang masih belajar.
PTPTN sebelum ini mendedahkan ia menanggung hutang berjumlah RM40 bilion, lebih besar daripada hutang ditanggung syarikat pelaburan bermasalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Punca utamanya adalah kelemahan sistemnya dan kutipan bayaran balik pinjaman yang rendah, hanya RM8.4 bilion daripada sejumlah RM56 bilion yang diagih sehingga Februari 2019.
PTPTN juga dijangka akan menanggung hutang kira-kira RM76 bilion dalam masa 20 tahun lagi.
Kementerian Pendidikan kini sedang meneliti model baharu untuk menggantikan PTPTN, hasil dapatan dan maklum balas umum melalui Kertas Konsultasi Rakyat yang dilaksana agensi itu awal tahun ini, kata menterinya Dr Maszlee Malik.