PH Sabah beri sokongan padu kepada Warisan
Pakatan Harapan (HARAPAN) Sabah secara sebulat suara memberi laluan kepada Parti Warisan Sabah (WARISAN) untuk meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.
Pengerusi HARAPAN Sabah yang juga Pengerusi KEADILAN Negeri, Datuk Christina Liew berkata, perkara itu disepakati semua pemimpin utama parti komponen HARAPAN Sabah dari KEADILAN, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Mereka turut memberi jaminan akan diletakkan WARISAN bagi memastikan kemenangan di kerusi berkenaan.
Christina menjelaskan persetujuan itu dicapai berdasarkan kes petisyen pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan sebelum ini yang memutuskan parti bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bertanding semula.
“Parti komponen HARAPAN Sabah akan menyokong dan memastikan kemenangan calon yang diputuskan oleh WARISAN. Jentera parti komponen akan digerakkan untuk membantu calon pada PRK itu nanti,” katanya.
Pada 16 Ogos lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya menolak kemenangan bekas Menteri Luar, Anifah Aman, pada PRU-14 kerana mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya, sekali gus membenarkan petisyen Karim.
Keputusan itu dikekalkan Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan Anifah pada 1 Disember lalu, sekali gus mengesahkan kekosongan kerusi Parlimen Kimanis.
Isnin lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, dalam kenyataannya, memaklumkan bahawa Dewan Rakyat sudah menerima surat daripada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun, mengenai kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen Kimanis berkuatkuasa 10 Disember.
Pada PRU-14, Anifah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi selepas memperoleh 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang calon WARISAN, Datuk Karim Bujang yang mendapat 11,786 undi dan calon Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Jaafar Ismail yang menerima 1,300 undi.