PH kekurangan sokongan: Ambil ikhtibar dari Tanjung Piai
Kekalahan Pakatan Harapan dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai hampir tiga minggu lalu sewajarnya menjadi pengajaran
Apatah lagi baru-baru ini dilaporkan daripada kajian EMIR Research bahawa 50% dari 1,992 pelbagai kaum yang ditinjau berasa tidak pasti mengenai halatuju negara ini, 24% tidak bersetuju dan hanya 26% bersetuju.
Menurut seorang peniaga kecil Maimunah Abdullah, situasi yang tidak menguntungkan PH ini berpunca daripada ekonomi yang lemah dan tidak ada tarikh peralihan kuasa antara Tun Mahathir dan Anwar Ibrahim.
“Semua ketidaktentuan ini berlaku sebab ekonomi bergerak perlahan dan isu peralihan kuasa dibelenggu dengan masalah tiada tarikh yang tetap diberikan.
“Biasanya pada hujung tahun seperti sekarang ramai orang mengikat perut kerana hendak menjimat untuk perbelanjaan persekolahan tahun hadapan.
“Pelanggan saya yang tidak bergaji tetap contohnya jurujual hartanah, insurans dan pemandu teksi kurang optimis dengan masa depan negara kerana halatuju adalah samar-samar. Dasar-dasar negara pun banyak yang mirip bekas kerajaan dulu. Tiada banyak yang baru,” katanya.
Beliau yang merupakan ahli PKR juga berkata kekalahan teruk PH di Tanjung Piai menyebabkan semangat untuk terus melawan BN terjejas. Apatah lagi dalam keadaan PH tidak banyak menunaikan janji politik mereka.
“Kekalahan di Tanjung Piai memang melemahkan semangat kami sebagai penyokong PH dan kami berharap PH telah mengambil ikhtibar dari kekalahan tersebut sebagai satu pengajaran dan amaran
“Tetapi nampaknya semua sudah balik kepada yang situasi yang selamba sahaja seolah-olah semua pemimpin kita sudah berasa penat dan letih untuk ‘bangun dari tidur’. Saya rasa sedih dengan keadaan seperti ini,” tambahnya.
Selain itu, beliau turut menggesa Anwar agar mengambil tindakan tegas dan serius terhadap mana-mana pemimpin atau ahli PKR yang mensabotaj parti.
“Ini adalah kerana ramai orang sedang memerhatikan langkah yang akan diambil oleh Anwar. Ada orang yang kata bahawa jika Anwar tidak boleh memimpin PKR dengan baik dan berkesan, bagaimana pula hendak memimpin negara. Oleh itu, saya menggesa Anwar supaya bertindak pantas terhadap mana-mana pihak yang sedang mengkhianati perjuangan parti,” katanya lagi.