Pengakuan pemuda dicabul ahli politik diragui kesahihan
Belum 24 jam Muhammed Yusoff Rawther mendedahkan akuan bersumpah mendakwa beliau dicabul seorang ahli politik terkenal, pakciknya Mohideen Abdul Kadeer berkata, insiden itu diragui kesahihannya kerana tidak pernah diberitahu kepada keluarga sejak ‘kejadian’ pada 2 Oktober 2018.
Mohideen, adik kepada aktivis pengguna terkenal, SM Mohamed Idris, berkata kejadian itu juga tidak disebut dalam laporan polis dan saman Muhammed Yusoff terhadap setiausaha politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak sebelum ini.
“Dakwaan muncul lebih setahun selepas kejadian yang didakwa itu, dan 2 hari sebelum persidangan PKR, saya percaya Yusoff dimanipulasi oleh beberapa ahli politik untuk kepentingan peribadi,” katanya dipetik FMT.
Semalam, Yusoff, 26, mencadangkan perkara sedemikian pada satu sidang media yang mengkritik pihak berkuasa kerana tidak bertindak atas laporan polis yang dibuatnya terhadap Farhash.
Beliau bagaimanapun enggan memberikan butiran dakwaannya, mengatakan ia sebahagian daripada akuan berkanunnya yang masih belum dimaklumkan.
Dalam kenyataannya Mohideen turut mengulas mengenai budaya memfitnah ke atas ahli politik kanan yang telah berlarutan sejak dua dekad lalu sewajarnya berakhir pada era Pakatan Harapan.
“Saya fikir kita telah meninggalkan politik liwat dengan ketibaan Malaysia Baru tetapi, sedihnya, ia muncul berulang kali.
“Saya yakin rakyat akan menolak politik kotor seperti itu,” katanya.
FMT gagal menghubungi Yusoff untuk mendapatkan responnya.
Yusoff sebelum ini menuduh Farhash, yang juga ketua PKR Perak, menyerangnya pada Mei, di pejabat presiden parti di Petaling Jaya.