*ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA RAKAN-RAKAN MEDIA*
*PENAFIAN PERARAKAN YANG MEMBAWA BENDERA KOMUNIS MELALUI RAKAMAN VIDEO YANG TULAR DI LAMAN SOSIAL*
*BUTTERWORTH* - Telah tular satu rakaman video yang berdurasi selama 1 minit 15 saat di media sosial berkaitan satu perarakan di Jalan Raja Uda, Butterworth sejak pagi tadi. Dalam rakaman tersebut tindakan si perakam dengan jelas menyebut 'Bendera Komunis' semasa perarakan berlangsung.
Bertindak atas isu yang ditularkan itu,
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor menjelaskan bahawa sebenarnya tiada sebarang perarakan yang membawa bendera komunis berlaku seperti yang ditularkan. Perarakan tersebut adalah sempena Perarakan Chingay Pesta Pulau Pinang Ke-11 yang telah berlangsung pada 22/12/2019 iaitu pada Hari Ahad yang lalu.
Menurut beliau lagi, perarakan tersebut telah disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO). Perarakan tersebut telah bermula dari Dataran Pemuda Butterworth yang dianjurkan oleh Exco Pembangunan, Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan Dan Warisan Negeri Pulau Pinang.
'Perarakan tersebut telah bermula jam 6.00 petang dan turut dihadiri oleh Ketua Menteri Pulau Pinang. Bendera yang dikatakan bendera Komunis adalah tidak benar sama sekali. Bendera yang di bawa oleh salah satu kontinjen perarakan adalah Bendera yang tertera tulisan KIWANIS iaitu sebuah pertubuhan suukarelawan di Malaysia' kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara.
Menurut beliau lagi semasa perarakan tersebut penugasan anggota IPD Seberang Perai Utara telah diaturkan. Lebih kurang 50 orang anggota telah bertugas semasa perarakan tersebut.
Dakwaan seperti yang dinyatakan dalam video tersebut adalah tidak benar sama sekali. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor turut menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya menularkan rakaman yang tidak sahih kebanarannya semata-mata untuk menarik minat netizen yang lain. Sebaiknya pemerhatian yang lebih baik dan jelas dilakukan dahulu sebelum menyebarkan sesuatu maklumat.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara berkata usaha untuk mengesan perlaku yang merakam dan menularkan video tersebut sedang di kesan bagi membantu siasatan selanjutnya.
*KPD SPU*