MARA kembali ke pelaburan teras pendidikan
Di bawah Kerajaan Pakatan Harapan MARA akan fokus kepada sektor teras pendidikan dan tidak lagi mengulangi kesilapan pelaburan era BN yang menyebabkan kerugian teruk.
Pengerusi Mara Hasnita Hashim dalam surat terbuka kepada pemegang taruh hari ini berkata proses kajian yang sedang berlangsung akan menentukan status semua subsidiari bahagian yang tidak berkaitan dengan pendidikan.
“Pada tahun ini, Mara telah menghentikan sebarang penyaluran peruntukan bagi pelaburan baru kecuali dalam bidang pendidikan.
“Susulan itu, semua anak syarikat Mara akan diletakkan di bawah pemantauan satu jawatankuasa khas yang akan melapor terus kepada Majlis Mara.
“Jawatankuasa khas ini juga akan memberi cadangan mana-mana anak syarikat yang akan dikekalkan atau sebaliknya pada tahun 2020,” katanya.
Hasnita juga mengakui bahawa Mara sebelum ini berdepan kekurangan kepakaran dalam bidang-bidang yang diceburi dan telah menyebabkan anak-anak syarikat yang ditubuhkan mengalami kerugian.
“Beberapa kelemahan yang telah dikenal pasti termasuk dalam aspek tadbir urus yang tidak sempurna, pemilihan sektor dan jenis pelaburan yang tidak tepat serta pengurusan dana yang tidak efektif,” katanya.
Walaupun Hasnita tidak menyebutkan contoh agensi Mara yang mengalami kerugian, anak syarikatnya, Mara Corp’s, yang merupakan konsep pusat digital alternatif – mula diperkenalkan di Kuala Lumpur pada tahun 2015 – dilaporkan menyaksikan sekurang-kurangnya cawangan Mara Digital ditutup kerana jualan yang rendah.
Aktiviti pelaburan hartanah di luar negara yang dijalankan Mara juga kini dalam siasatan kes rasuah.
Sementara itu, Hasnita berkata Mara akan terus menumpukan pelaburannya dalam bidang termasuk pembangunan modal insan untuk tenaga kerja masa depan, melalui institusi pendidikan seperti MRSM, UniKL, KUPTM, Giatmara dan lain-lain.
Dari segi keusahawanan, Hasnita berkata, Mara melaksanakan program pembangunan keusahawanan bersama usahawan-usahawan Bumiputera yang sedia mempunyai kepakaran dan kemahiran seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
“Mara akan terus memastikan masyarakat Malaysia terutamanya bumiputera akan mendapat manfaat sepenuhnya daripada program-program pendidikan dan pembangunan keusahawanan yang dijalankan,” katanya.
Mengulas pencapaian tahun ini, Hasnita berkata Mara mecapai sasaran apabila lebih 60 peratus kemasukan Maktab Rendah Sains Mara tahun ini adalah daripada kumpulan B40.
“Bagi pengambilan 2020, Mara telah menerima lebih daripada 100 ribu permohonan,” katanya.