KONVENSYEN KEADILAN PERAK MALAM TADI - JANGAN UJI SAYA, KATA ANWAR



Terlebih dahulu tabik dan syabas saya ucapkan kepada MPN KEADILAN Perak yang telah berjaya melangsungkan Konvensyen KEADILAN bagi negeri tersebut yang merupakan konvensyen terbaik sebelum Kongres Nasional bermula pada 6,7 dan 8 hb Disember ini di MITC, Melaka. 

Jelas, semakin Anwar Selaku Presiden parti ditekan dan diugut oleh petualang parti, semakin ramai penyokong Keadilan dan pejuang reformasi berada di belakang tokoh reformasi ini bagi mempertahankannya.  Kehadiran malam tadi di Perak pada pandangan saya yang mengikutinya secara langsung di FB adalah merupakan yang terbaik sekali.  Syabas warga Keadilan Perak.

Turut berucap adalah Pengerusi MPN Perak, Sdr Farhash yang menyentuh tentang pengorbanan beberapa pejuang Keadilan di peringkat bawahan yang berjuang tanpa meminta apa2 kedudukan, jawatan atau projek.  Pejuang seperti ini wajar dihormati dan tidak disisihkan, ujar beliau yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangan Keadilan, Sdr Shamsul Iskandar (Dato' Seri) dengan lantang menyatakan bahawa Keadilan akan tetap menentang amalan rasuah tidak mengira sesiapa dan sekali lagi mengingatkan betapa setiap ahli parti betapa pentingnya menjaga disiplin parti dan menghormati kepimpinan parti.  Beliau turut memberi amaran terhadap sesiapa sahaja dari kalangan parti yang mahu mensabotaj Kongres Nasional yang akan diadakan hujung minggu ini di Melaka.  

Dr Xavier turut berucap dan beliau mengingatkan tentang sejarah Keadilan dalam menghadapi cabaran yang berliku.  Keadilan wujud atas pengorbanan Anwar dan kita menjadi sebahagian dari kerajaan sekarang adalah hasil dari perjuangan yang dibawa oleh Anwar Ibrahim.  Maka, wajar sekali Presiden Keadilan ini ditabalkan sebagai PM ke 8.  

Kemuncak konvensyen malam tadi adalah pidato dari Presiden.  Beliau mengingatkan tentang asas perjuangan parti.  Beliau bersyukur kerana diuji dengan penderitaan, kesusahan dan dipenjarakan.  Dalam ujian itu ada hikmahnya di mana beliau boleh merasai bagaimana seseorang itu tidak boleh tidur selesa, tidak boleh makan dan minum seperti orang lain mengikut cita rasa selera.  Di sini beliau dapat rasakan kehidupan rakyat yang miskin di luar sana.  InsyaAllah, jika ditakdirkan menjadi PM selepas ini, beliau berjanji nasib rakyat tidak mengira apa jua kaum dan agama akan beliau perjuangkan dan menjadi keutamaannya.  

Menyentuh tentang isu dalaman parti, sekali lagi beliau menyeru kepada semua ahli parti untuk bersatu dan tumpukan kepada kekuatan parti.  Usah biarkan diri kita dipergunakan oleh dua tiga kerat pemimpin yang berkepentingan, ujarnya.  Selaku Presiden, beliau berjanji untuk menjadi Presiden untuk semua bukan untuk satu2 puak atau kumpulan.  Beliau akan pastikan parti ini kuat dan tidak diganggu gugat oleh musuh samada dari luar atau dalam parti.  Justeru itu katanya, "  Jangan uji saya". !! 

Ayuh kita semua.  Kita berkampung di Melaka, kita berhimpun di MITC, Melaka.  Bumi Hang Tuah bakal menyaksikan kehadiran panglima kita Anwar Ibrahim.  

" Dari Perak menuju ke Melaka,
Jangan singgah di Kuala Lumpur,
Jangan biarkan cacing naik ke mata,
Derhaka Presiden akan kita gempur. 

Hang Tuah pahlawan negeri Melaka,
Sanggup membunuh Jebat derhaka,
Kesabaran Presiden ada batasnya,
Menyesal kemudian tidak berguna.  

WFAUZDIN NS