Konflik perkauman penentu jatuh-bangun ekonomi 2020
Dalam masa 2 minggu lagi seluruh dunia akan menyambut Tahun Baru 2020. Telah diramalkan oleh pakar ekonomi dunia akan menguncup pada tahun depan. Bagaimanakah situasi di Malaysia yang belum pulih daripada kesan trauma pembayaran hutang berikutan penyelewengan kerajaan BN?
Menurut pemerhati ekonomi Jameson Tan, tahap cabaran yang dihadapi Malaysia berbeza berbanding negara lain di rantau Asia. Keyakinan pelabur agak tinggi berdasarkan tenaga kerja terlatih namun faktor itu boleh berubah sekiranya pembangkang memainkan isu perkauman ke tahap mencetuskan huru-hara sebagaimana yang terjadi sebelum ini.
“Cabaran yang paling menyukarkan ialah isu perkauman. Sepanjang tahun 2019 Malaysia dibelenggu oleh isu perkauman di mana pihak pembangkang bertali arus telah membangkitkan isu-isu yang mengguris hati masyarakat bukan-Melayu di Malaysia dan ini sedikit sebanyak menjejaskan iklim pelaburan di negara ini,” katanya
Beliau memberi contoh kempen ‘boikot barangan bukan-Islam’ yang telah menjadi hangat beberapa bulan yang lalu dan telah memberi imej yang negatif terhadap negara kita.
Jameson menggesa Kerajaan PH supaya lebih tegas dan serius dalam usaha mengikis kenyataan-kenyataan yang berbaur sentimen perkauman
“Sehingga hari ini nampaknya tiada undang-undang yang digubal untuk menghukum orang yang membangkitkan isu perkauman. Saya berpendapat Kerajaan PH mesti mengorak langkah dengan segera sebelum terlambat.
“Selain itu, kos sara hidup adalah satu isu yang juga nampaknya dipandang remeh oleh Kerajaan PH yang hingga hari ini masih berkata bahawa kekangan kewangan adalah disebabkan oleh mantan Kerajaan BN.
“Rakyat tahu semua itu dan ia tidak perlu diulangi lagi. Kerajaan PH mesti pro-aktif untuk menggerakkan ekonomi negara supaya lebih ramai pelabur asing berminat datang ke sini tetapi yang amat perlu pada ketika ini ialah halatuju negara mesti ditentukan dengan jelas oleh Kerajaan PH,” katanya lagi.