ISU PERALIHAN KUASA TIDAK SELESAI KERANA SALAH MAHATHIR



Jika difahami betul-betul, memang betul sebenarnya bahawa isu pengganti Perdana Menteri ini sudah lama selesai.
Tidak perlu sesiapa lagi membangkitkannya, sejak dulu dan juga sekarang ini.
Ini kerana sudah termaktub dalam perjanjian yang dipersetujui oleh semua parti dalam PH sebelum PRU14 lagi telah menetapkan di mana selepas Tun Mahathir Mohamad, Perdana Menteri seterusnya adalah Anwar Ibrahim.
Walaupun tiada tempoh masa peralihan kuasa mesti dilakukan, tetapi Tun Mahathir sendiri berulang kali menyatakan hanya mahu memegang jawatan Perdana Menteri selama tempoh dua tahun saja.
Menurut Tun Mahathir ketika sebelum beroleh kuasa, tempoh dua tahun adalah memadai baginya untuk memperbaiki kerosakan negara dan memulihkan ekonomi yang dirosakkan oleh kerajaan terdahulu.
Makna kata, menjelang tempoh dua tahun iaitu pada Mei 2020, peralihan kuasa seharusnya mesti dilakukan tanpa banyak masalah dan ngok ngek lagi.
Malah, itulah yang difahami oleh pengundi yang memilih PH sebagai kerajaan pada 9 Mei 2018 lalu.
Tetapi, kenapa isu peralihan ini semacam tidak pernah selesai sehingga sekarang?
Sebabnya hanya dua perkara:-
Pertama, disebabkan Tun Mahathir yang tidak lagi berpegang kepada janji dua tahun yang pernah dilafazkannya sendiri.
Sebelum dapat kuasa, berulangkali beliau menyebut hanya perlu dua tahun, namun setelah kuasa dalam genggaman, cakapnya mula berubah daripada dua tahun kepada dua setengah tahun, kemudian sehingga ekonomi pulih, mungkin tiga tahun dan terbaru sehingga selesai Sidang APEC pada November 2020 pula.
Kedua, isu peralihan kuasa ini juga semacam tidak selesai kerana ada pihak dalam PH sendiri yang lupa kepada konsensus, sibuk mengampu Tun Mahathir agar kekal sehingga habis penggal serta ada pihak menpunyai niat jahat untuk memintas kedudukan Anwar sebagai calon tunggal PM8.
Dari segi Anwar, beliau sentiasa berpegang kepada janji dan menunggu dengan sabar bila ia akan ditunaikan.
Kalau semua pihak dalam PH, terutama Tun Mahathir dan pengampu-pengampunya sentiasa berpegang kepada janji, apa yang berlaku hari ini pasti tidak akan terjadi.
Maka, seperti kata pepatah, kalau sesat di hujung jalan, segeralah kembali ke penggal jalan.
Kepada PH, khususnya Tun Mahathir dan pengampu-pengampunya, sedarlah bahawa sebelum isu peralihan kuasa ini lebih meretak dan memecahkan sesama sendiri, cepat-cepatlah kembali kepada intipati konsensus yang telah dipersetujui dan diumumkan kepada rakyat pada 7 Januari 2018 lalu.
Jika tidak mahu kembali ke pangkal jalan, maka PH bukan saja akan terus sesat dan memungkinkan hanya sepenggal menjadi kerajaan, malah kenegarawanan Tun Mahathir sendiri akan rosak binasa akhirnya. (ShahbudinHusin 22/12/2019