Isu utama yang membelenggu UMNO sekarang ini adalah keghairahan dan tidak sabarnya mereka untuk kembali berkuasa tanpa mahu menunggu PRU bagi mendapatkan mandat rakyat.
Oleh kerana ia sudah berkuasa terlalu lama dan tidak pernah menjadi pembangkang, maka sekali ia tiada kuasa sejak PRU14 lalu, para pemimpin UMNO seolah-olah hilang punca untuk mengurus parti dan diri sendiri.
Itulah yang menyebabkan sekumpulan Ahli Parlimen UMNO segera melompat parti menyertai Bersatu sebaik BN kalah dan hilang kuasa pada PRU 9 Mei 2018 yang lalu.
Apabila hilang kuasa, hidup tanpa jawatan, tanpa kedudukan dan tanpa kontrak perniagaan, mereka merasakan seolah-olah dunia ini sudah gelap untuk meneruskan kehidupan.
Itulah juga yang menyebabkan Hishammuddin Hussein bersama 17 Ahli Parlimen UMNO begitu mudah mengadakan pertemuan sulit pada waktu malam dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali, walaupun dikatakan perjumpaan itu hanya berkaitan permohonan untuk projek-projek pembangunan di kawasan masing-masing, tetapi tentulah ia turut sama terkait dengan usaha menubuhkan kerajaan baru melalui pintu belakang.
Jika tanpa ada kemungkinan menubuhkan kerajaan secara haram, mustahil pertemuan itu dapat dilangsungkan.
Baik di pihak Azmin, mahu pun Hishammuddin, kalaulah pertemuan itu semata-mata berkaitan permohonan kontrak pembangunan di kawasan Parlimen masing-masing tanpa ada niat lain yang terselindung di sebaliknya, tidak ada faedahnya kedua-dua pihak saling setuju dengan bertemu.
Kemudian apabila Lokman Adam membuat aduan terhadap Hishammuddin kepada Lembaga Disiplin UMNO, lalu kemudian prosiding disiplin yang sepatutnya diadakan pada 26 Disember lalu ditangguhkan, ia juga berkaitan penubuhan kerajaan pintu belakang itu.
Dikatakan arahan itu datangnya daripada Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi sendiri dengan maksud untuk terus memberi ruang kepada Hishammuddin meneruskan agenda menubuhkan kerajaan baru melalui pintu belakang dan dengan demikian bukan saja memungkinkannya kembali memegang jawatan dalam kerajaan, bahkan melepaskan daripada 87 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram yang sedang dihadapinya.
Sekurang-kurangnya itulah maksud daripada dakwaan Lokman terhadap Zahid yang didakwanya mengarahkan prosiding disiplin terhadap Hishammuddin ditangguhkan sehingga akhirnya menyebabkan Apandi Ali meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin.
Walaupun tindakan Lokman boleh dikatakan murni iaitu untuk memastikan UMNO hanya kembali berkuasa melalui PRU dan bukan melalui pintu belakang, malangnya beliau kini didesak agar dipecat sebagai Ahli MT UMNO.
Sesuatu yang UMNO harus sedar ialah mereka sudah kalah dalam PRU14 lalu dan yang menang ialah PH yang didalamnya ada PKR, DAP, Amanah, Bersatu serta dibantu dengan sokongan oleh Warisan.
Apabila sudah kalah dan ditolak rakyat, adalah tidak bermaruah untuk para pemimpinnya terus berusaha membawa UMNO kembali berkuasa melalui pintu belakang.
Kalau mahu berkuasa semula, UMNO mesti melakukannya melalui pilihanraya dan menerusi mandat yang sah daripada rakyat.
Lain daripada itu adalah adalah kaedah kebaculan, kepondanan dan mengkhianati pilihan rakyat yang memilih PH untuk berkuasa selama sepenggal atau lima tahun sehingga PRU yang seterusnya.
Kenapakah UMNO begitu gopoh mahu kembali ke persada kuasa tanpa mahu menunggu ketibaan PRU?
Apakah UMNO tiada keyakinan, meskipun sudah bekerjasama secara sah dengan Pas melalui Muafakat Nasional?
Dalam hal ini, bukan saja penyokong PH mesti mempertahankan kerajaan yang ada ini sehingga PRU yang seterusnya serta tidak membenarkan sesiapa juga mengkhianatinya, malah penyokong UMNO pun harus ada perasaan malu dengan menolak sama sebarang usaha untuk parti itu kembali berkuasa secara haram, tidak sah dan melalui pintu belakang.
PRU adalah untuk mendapatkan kuasa dan jika kuasa sewenang-wenang boleh ditubuh melalui pintu belakang, pilihanraya dan kuasa rakyat sudah tiada ertinya lagi dalam demokrasi. (ShahbudinHusin 29/12/2019)