Dalam ucapan berapi-apinya di Hotel Renaissance petang semalam, Azmin Ali berkata, beliau lebih dulu melalui pengalaman masuk penjara berbanding Presiden PKR. Anwar Ibrahim.
Katanya, beliau masuk penjara pada 16 September 1998 iaitu sebelum Anwar ditangkap pada 20 September tahun yang sama.
“Jangan padam sejarah, saya masuk penjara pada 16 September.
“Saya ditelanjangkan, dibogelkan, ditanggalkan, dipijak, dihina…
“Kerana apa? Kerana perjuangan Keadilan yang kita bina ini,” demikian antara kata-kata yang diucapkan Azmin yang mendapat tepukan gemuruh daripada para penyokongnya.
Bagaimanapun, menerusi semakan dengan beberapa kenalan yang pernah bersama PKR sejak awal, disahkan bahawa Azmin tidak pernah sama sekali dipenjarakan kerana perjuangan reformasi yang dicetuskan oleh Anwar.
Azmin direman bermula 16 September 1998 untuk beberapa hari kerana disiasat polis berhubung buku 50 Dalil Anwar Tidak Boleh Jadi PM yang menjadi antara sebab Anwar dipecat ketika itu.
Direman bermakna bukanlah Azmin pernah dipenjara, cuma dilokap polis untuk siasatan saja.
Dalam hal ini, apakah Azmin tidak boleh membezakan antara lokap dan penjara?
Atau adakah Azmin sengaja berbuat demikian untuk menunjukkan betapa besar pengorbanannya kepada PKR?
Kata mereka yang merupakan pejuang asal PKR itu lagi, satu-satunya pemimpin PKR yang pernah dipenjara kerana reformasi hanyalah Mohamad Ezam Mohd Nor.
Yang lain-lain umpamanya Tian Chua, Gobalakrishnan, Lokman Adam dan ramai lagi cuma pernah ditahan polis, direman dan dilokap saja, termasuk ditahan di bawah ISA seperti Zahid Hamidi dan Zambry Abdul Kadir, manakala ada juga yang lain melarikan diri ke luar negara.
Selain itu, Azmin juga kata mereka, bukanlah antara penggerak awal ketika PKR mula-mula ditubuhkan pada 1999 di Hotel Renaissance sebagaimana yang didakwanya bahawa beliau dan Zuraidah Kamaruddin adalah antara yang berada di hotel tersebut ketika itu.
Azmin tidak termasuk dalam senarai kepimpinan PKR pada awal penubuhannya, manakala Zuraidah pula hanya muncul dalam PKR beberapa tahun kemudiannya.
Walaupun kemudiannya Azmin merupakan antara yang lantang mengkritik kerajaan dan Tun Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketika itu dalam ucapan-ucapannya, beliau tidak pernah lagi diusik oleh pihak polis selepas itu.
Hebat tak, Azmin? (ShahbudinHusin 09/12/2019