APA MAKSUD PENDEKATAN 'MENANG-MENANG' DI DALAM ISU TANAH HARAM CAMERON HIGHLAND ?




Ramai yang tidak faham atau sengaja tidak mahu faham apa yang dimaksudkan dengan pendekatan rundingan yang disuarakan oleh YB Fuziah Salleh di dalam isu pekebun tanah haram di CH.  Mereka berfikiran MP Kuantan itu  menyokong tindakan menceroboh tanah haram serta tindakan mencemar alam sekitar di CH.  

Memang benar, memang telah berlaku rundingan sebelum ini oleh kerajaan negeri Pahang dengan mereka yang terlibat.  Tetapi, apakah rundingan itu menghasilkan keputusan yang positif?  Berunding bukan bermakna kerajaan negeri perlu akur dengan pekebun-pekebun tanah haram tersebut atau pekebun-pekebun mesti diusir seperti binatang liar.  

Apa yang saya faham dari kenyataan YB Fuziah itu adalah undang-undang pemuliharaan alam sekitar wajib dijaga tanpa kompromi.  Bahkan, atas asas itulah YB Fuziah konsisten dengan perjuangannya menentang kilang Lynas sampai sekarang.  Komitmennya itu tidak boleh dipertikaikan lagi.

Namun, di dalam isu di CH ini bukan sahaja alam sekitar perlu dijaga, tetapi perasaan kemanusiaan juga perlu dihormati dan dilindungi.  Mereka telah bercucuk tanam di situ dan tentunya itu adalah pencarian sara hidup mereka.  Tidakkah ada kaedah atau pendekatan yang lebih mesra atau berhemah agar nasib mereka tetap dilindungi dan alam sekitar tetap dapat diselamatkan?  

Rugikah kerajaan negeri Pahang memberi satu kawasan lain yang boleh dipajak untuk mereka meneruskan usaha bertani sebagai alternatif kepada mereka selain dari diusir?  Situasi "menang-menang' yang YB Fuziah maksudkan adalah kerajaan negeri dapat mempertahankan alam sekitar dari dicerobohi, manakala pekebun yang terlibat dapat meneruskan kehidupan dengan alternatif yang ditawarkan. Tergamakkah kita melihat tanaman yang mereka tanam dari titik peluh mereka demi untuk mencari perbelanjaan menjelang hari  persekolahan bermula diranap begitu sahaja hanya kerana undang-undang? 

Pada hemat saya, YB Fuziah tiada kepentingan apa-apa di dalam isu ini kerana CH bukannya di kawasan beliau di Kuantan.  Tetapi beliau berpegang kepada prinsip bukan sahaja mesra alam tetapi mesra insan.  Janganlah kita jadikan undang-undang untuk kita menafikan perikemanusiaan.  

Ada undang-undang yang kita perlu bertegas dan ada undang-undang yang boleh kita laksanakan dengan kaedah yang lebih berhemah.  Malangnya, ada juga suara-suara sumbang yang menyalahkan kerajaan PH berikutan apa yang berlaku di CH itu.  Di mana MP yang mereka angkat dulu? 

WFAUZDIN NS