AGENDA MEMALUKAN ANWAR DAN MELEMAHKAN PKR.MUNGKIN BERULANG LAGI.



Ketegasan Anwar Ibrahim untuk mengambil tindakan keras, termasuk pecat keahlian, selain mahu polis bertindak sewajarnya terhadap mereka yang mencetuskan pergaduhan dalam Kongres AMK, ia adalah tindakan tepat dan harus diberikan pujian.
Ini kerana, beliau kini tidak boleh bertolak ansur lagi terhadap mana-mana pihak yang cuba melemahkan parti serta cuba memalukannya.
Setelah diperolehi bukti-bukti, pelaku dan dalang di sebalik kejadian pergaduhan itu sudah wajib dipecat dan disingkirkan daripada parti.
Hanya dengan cara begitu dapat memastikan PKR aman damai selepas ini.
Ikut logiknya, setelah Azmin Ali datang berjumpa Anwar untuk berdamai dengan menyatakan sedia hadir ke Kongres PKR serta permintaannya untuk merasmikan Kongres Wanita dan AMK ditunaikan, tidak patut ada sebarang kekecohan berlaku lagi.
Malangnya, Kongres AMK hari ini telah dicemari dengan pergaduhan yang seolah-olah sengaja dicetuskan, walhal ketika majlis perasmian malam semalam oleh Azmin yang begitu gah dengan turut ditemani oleh Zuraidah Kamaruddin dan Tian Chua, segala-galanya nampak aman dan tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
Kenapakah tiba-tiba hari ini berlaku pergaduhan dengan muncul pula geng baju hitam serta baju merah yang bertulis AA di sekitar Kongres AMK?
Apakah perlunya lagi provokasi seperti itu jika Azmin sudah berdamai dengan Anwar?
Susulan pergaduhan pada sebelah pagi tadi, Timbalan Ketua AMK, Hilman Idham dan penyokongnya telah mengambil keputusan tidak hadir mesyuarat pada sebelah petang atas alasan keselamatan.
Hakikatnya, soal keselamatan itu hanyalah alasan saja kerana Hilman dan penyokongnya memang sejak awal dikhabarkan merancang mahu memboikot majlis perasmian oleh Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Bermakna, meskipun perasmian telah diserahkan kepada Azmin atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden PKR dan Dr. Wan Azizah melakukan majlis penutup, tindakan boikot tetap juga diteruskan.
Cuma, alasan keselamatan telah dijadikan sandaran untuk melakukan pemboikotan itu.
Tidak lain, pemboikotan dan mencetuskan huru-hara itu hanyalah untuk memalukan Anwar dan menampakkan PKR sedang berpecah di mata rakyat.
Dalam hal ini, Anwar dan pimpinan PKR harus berwaspada dan siap siaga dalam Kongres Nasional PKR pada esok dan lusa.
Jika hari ini mereka boleh mencetuskan kekacauan dan pergaduhan dalam Kongres AMK, tidak mustahil ia dicetuskan pula, mungkin pada skala yang lebih besar dan ganas dalam Kongres Nasional PKR esok.
Malahan terdapat maklumat rambang yang mengatakan ada berpuluh-puluh bas daripada seluruh negara dijangka akan sampai ke Melaka malam ini atau pagi esok yang ditaja oleh pihak-pihak tertentu.
Ada kemungkinan mereka ini sengaja dihadirkan untuk mencetuskan pergaduhan dan huru-hara dengan satu tujuan berterusan sebagaimana disebut awal tadi – memalukan Anwar dan melemahkan PKR.
Jika itu berlaku, sekali lagi pemboikotan bakal terjadi di kongres esok, sama seperti di Kongres AMK, alasannya adalah keselamatan juga.
Kalau dua tindakan boikot itu berjaya dilakukan, ia sama seperti kejayaan menganjurkan kongres berasingan sebagaimana dirancang sebelum ini.
Dengan demikian, berdendanglah mereka kemudiannya dengan mengatakan Presiden PKR itu tidak layak menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Mahathir Mohamad kerana partinya sendiri pun tidak mampu dikawalnya.
Bukan mahu menuduh, tapi berdasarkan apa yang terjadi hari ini, ternampak bahawa perdamaian yang dihulur dua hari lalu hanyalah sandiwara saja.
Itu pun nasib baik Anwar difahamkan hanya setuju dengan permintaan untuk membenarkan Azmin merasmikan Kongres AMK dan Wanita saja, manakala dua tiga permintaan lain seperti mengubah jurucakap negeri-negeri tidak mudah dilayannya.
Maka itu, sebagai langkah tegas yang berterusan, selain pelaku yang mencetuskan pergaduhan mesti dicari, diserahkan kepada pihak polis, dihukum serta dipecat keahliannya dalam PKR, dalang besar dan dalang kecil juga jangan sesekali dilepaskan.
Tindak-tanduk mereka setelah beroleh kuasa dan dengan mudah melupai agenda reformasi yang diperjuangkan sejak 20 tahun lalu, bererti PKR bukanlah lagi tempat yang sesuai buat mereka. (ShahbudinHusin 06/12/2019)