Tun Mahathir Mohamad dilaporkan terkejut dengan kemenangan BN dapat menewaskan PH di Tanjung Piai dengan majoriti lebih 15 ribu undi.
Katanya, beliau memang menjangka PH akan tewas, tetapi tidaklah dengan majoriti yang sebesar itu.
Sehubungan itu, tegasnya, satu post mortem yang terperinci, serius dan jujur di semua peringkat parti akan dilakukan bagi mengenalpasti punca sebenar kekalahan tersebut.
Agaknya, kerana masih terkejut itulah maka sejak dua hari lalu beliau tiada muncul di khalayak ramai atau majlis rasmi dan reaksinya mengulas kekalahan di Tanjung Piai hanya dilakukan melalui kenyataan media saja.
Ini adalah sesuatu yang asing dilakukan oleh Tun Mahathir kerana beliau biasanya akan mengulas keputusan sesuatu pilihanraya secara langsung di depan wartawan serta dirakam melalui kamera.
Dengan tidak muncul di acara rasmi dalam sehari dua ini memberi erti beliau benar-benar terkejut dengan keputusan PRK Tanjung Piai.
Kalau minggu lalu Tun Mahathir secara sinis mengatakan terkejut apabila mendengar Najib Razak terkejut dengan keputusan mahkamah yang mendapatinya perlu membela diri dalam kes SRC International, sekarang beliau sendiri yang nampaknya terkejut.
Barangkali kali ini Najib pula yang akan terkejut dengan terkejutnya Tun Mahathir dengan keputusan PRK Tanjung Piai.
Apa pun, dalam terkejut dengan keputusan di Tanjung Piai itu, Tun Mahathir tidak harus sesekali lupa untuk bermusabah mengenai dirinya.
Ini kerana dalam banyak analisa yang diperkatakan oleh pelbagai pihak, sebahagian besarnya menuding punca kekalahan PH itu adalah berpunca daripada dirinya sendiri.
Ia termasuk kegagalan menunaikan janji, memulihkan ekonomi sehingga orang meniaga masih terasa susah mencari rezeki, peluang pekerjaan terhad, reformasi institusi tiada ketahuan, karenah menteri-menteri lantikannya yang mengecewakan, prestasi kerajaan yang perlahan, konflik peralihan kuasa yang tiada kesudahan dan pelbagai lagi.
Setelah 18 bulan gagal menzahirkan sesuatu yang memuaskan hati rakyat, PRK Tanjung Piai dianggap oleh banyak pihak merupakan referendum terhadap kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri.
Maka itu, selain bermusabah, Tun Mahathir kini tiada pilihan lain selain perlu meletakkan hala tuju yang jelas mengenai masa depan negara ini, terutama berhubung kedudukan Anwar Ibrahim sebagai penggantinya.
Dalam semua orang ada kekecewaan dan tafsiran masing-masing mengenai kelemahan kerajaan, tetapi hampir semua rakyat masih tertanya-tanya berhubung tarikh penyerahan jawatan kepada penggantinya yang sudah dipersetujui itu.
Kalau aspek ekonomi, pemulihan negara dan sebagainya tidak upaya dilakukannya, barangkali kerana faktor usia sehingga dilanda ketepuan dalam berfikir dan bertindak, Tun Mahathir seharusnya tidak berlengah lagi menetapkan tarikh peralihan kuasa kepada Anwar.
Hanya dengan meletakkan titik kepastian dan memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kepimpinan baru akan mengambil alih teraju negara ini, barulah keyakinan mereka kepada PH dan kerajaan dapat dipulihkan.
Setelah kurang berjaya selama 18 yang lalu dan telah dibuktikan melalui referendum PRK Tanjung Piai, majoriti rakyat sebenarnya tidak sedia lagi Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri lebih daripada dua tahun.
Menyegerakan perubahan adalah prasyarat memulihkan keyakinan rakyat yang hampir hilang. (ShahbudinHusin 18/11/2019)