Sekolah dibekalkan senarai ‘pekerjaan tiada masa depan’
Memasuki era revolusi industri 4.0 (IR 4.0) separuh pekerjaan yang wujud pada hari ini tidak lagi wujud pada masa hadapan.
Mendepani hakikat itu Kementerian Sumber Manusia melakukan inisiatif memberi maklumat awal mengenai pekerjaan-pekerjaan yang berisiko akan menjadi sejarah pada masa hadapan agar murid-murid sekolah tidak menyimpan cita-cita untuk menceburinya.
Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran berkata risalah akan diedarkan bagi menyedarkan murid-murid akan risiko berkenaan dan membantu pelajar mengelak memilih bidang pengajian yang tidak mempunyai masa depan.
“Saya telah bercakap dengan lebih 400 guru dan majoriti mereka keliru tentang realiti semasa berkenaan bidang pekerjaan yang mungkin tidak lagi relevan atau wujud dalam tempoh tiga atau lima tahun akan datang.
“Sebab itu kementerian bersedia dengan senarai pekerjaan yang dikategorikan kritikal pada masa depan untuk diedarkan kepada semua sekolah selewat-lewatnya akhir Disember ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2019, semalam.
Kula Segaran berkata proses menyenarai bidang pekerjaan itu disediakan dengan kerjasama Bank Dunia, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (Iimia) serta Talent Corp.
Beliau berkata pandangan daripada empat entiti berkaitan bidang pekerjaan tersebut diambil sebagai panduan dan kemudiannya diolah mengikut keadaan semasa di negara ini sebelum diedarkan.
Ditanya apakah pekerjaan yang berada dalam senarai tersebut, Kula Segaran membayangkan ia bukan bidang pekerjaan terkenal tetapi memberi pulangan wang yang banyak kepada mereka yang terlibat di dalamnya.
“Ledakan IR 4.0 (Revolusi Industri 4.0), memungkinkan 30% pekerjaan sedia ada ketika ini tidak lagi relevan pada masa akan datang, bermakna pelajar dan ibu bapa perlu diberi panduan agar lebih bersedia menghadapinya,” katanya.