PRK Tg Piai: Pendirian Pas macam lalang
Bukan perkara yang menghairankan apabila pemimpin PAS boleh mengubah pendirian sekelip mata, Kata Senator Datuk Husam Musa.
Merujuk kepada sokongan diberikan beberapa pemimpin PAS kepada calon MCA yang mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Husam berkata PAS sering berubah-ubah demi meraih sokongan politik
“Pas hanya parti politik yang menggunakan agama. Pas tidak pernah rasa malu dan Pas boleh menukar pendiriannya walaupun akhirnya termakan mereka sendiri,” jelas Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu.
Terdahulu, kenyataan beberapa pemimpin PAS yang menggesa sokongan diberikan kepada calon BN, Wee Jeck Seng menerima sindiran banyak pihak.
Mereka mengulang siar ‘amanat’ Presiden PAS, Abdul Hadi Awang sebelum ini yang berkata pengundi khususnya yang beragama Islam wajib memilih calon yang beriman dan budiman.
Semakan mendapati Abdul Hadi pernah membuat kenyataan itu bagi membantu kempen BN pada PRK Cameron Highland.
Pada PRK itu BN mempertaruhkan Ramli Md Nor untuk berhadapan calon HARAPAN M. Manogaran serta dua calon bebas lain.
“Bagaimanapun, lain pula berlaku di PRK Tanjung Piai apabila Pas juga menyokong calon pilihan Barisan Nasional (BN) iaitu Wee Jeck Seng daripada MCA,” kata Husam.
Sementara itu di laman sosial, warganet mempersoal mengapa PAS mengubah pendirian setelah mereka menjalin muafakat nasional bersama Umno .
Ia terutama melibatkan calon yang didakwa pernah mempersoal hukum Islam mempertikai pelaksanaan hukum Islam.