PH tak layak memerintah jika tidak memahami rakyat
Putrajaya perlu mengambil pendekatan bijaksana untuk memulihkan keyakinan rakyat.
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat gesaan itu susulan mesej disampaikan pengundi kepada kerajaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada Sabtu lalu.
Tambahnya, susulan kekalahan memalukan Pakatan Harapan (HARAPAN) itu, pemimpin HARAPAN tegasnya perlu menggandakan usaha dalam memberi khidmat kepada rakyat selain memahami mesej bantahan yang ditunjukkan pengundi di PRK berkenaan.
“Kalau kita tak belajar dan tak tahu lagi, maknanya kita tidak lagi layak memerintah.
“Kita sudah dapat maklumat dan kita sepatutnya hanya menunggu masa untuk mengambil tindakan yang bijaksana untuk memulihkan keyakinan,” katanya semasa ditemui di lobi Dewan rakyat seperti dilapor Awani.
Sementara itu, ketika mengulas gesaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membubarkan Parlimen susulan kekalahan di Tanjung Piai berkata, tiada keperluan berbuat begitu.
“Parlimen tidak perlu dibubar walaupun HARAPAN menerima kekalahan berturut-turut dalam beberapa PRK akhir-akhir ini.
“Kerajaan masih mempunyai mandat untuk terus berkhidmat kepada rakyat,” tegasnya.