Naik cukai pintu P Pinang, pastikan perkhidmatan diperbaiki
Kerajaan Pulau Pinang digesa memberikan perkhidmatan lebih baik berbanding sekarang sekiranya kenaikan cukai taksiran di negeri itu tidak mampu dielakkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir Muhammad Faiz Fadzil berkata, beliau faham bahawa sukar untuk kerajaan negeri menyemak semula kenaikan itu yang bakal dilaksana tahun hadapan kerana kadar sedia ada tidak disemak sejak 15 tahun lalu.
Namun, kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow tegasnya wajar memastikan rakyat merasa cukai dibayar setimpal dengan apa yang bakal dinikmati mereka.
“Kalau kerajaan negeri mengambil sikap untuk meneruskan kenaikan cukai, apa yang saya mohon perkhidmatan yang ditawarkan, biarlah setimpal dengan meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat.
“Keresahan rakyat adalah apakah ada peningkatan kepada perkhidmatan, dari sudut penyelenggaraan parit, pembersihan sampah, landskap dan sebagainya. Ini yang mahu dilihat oleh rakyat di Seberang Perai terutamanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2020, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang, di George Town minggu lalu.
Sementara itu, Faiz turut berharap kerajaan negeri dapat menjelaskan mengenai peningkatan perkhidmatan yang akan dinikmati rakyat, hasil daripada kenaikan kutipan cukai berkenaan.