MAHATHIR DAH HILANG AURA. MASA BERUNDUR KINI TIBA



Berdasarkan keputusan rasmi PRK Tanjung Piai di mana BN menang dengan majoriti bergaya sebanyak 15,086 undi, isyarat rakyat kepada PH sememangnya tidak boleh dinafikan lagi.
Calon BN, Wee Jeck Seng memperolehi 25,466 undi meninggalkan jauh calon PH daripada Bersatu, Karmaine Sardini yang mendapat cuma 10,380 undi.
Calon-calon lain iaitu Wendy Subramanian daripada Gerakan mendapat 1,707 undi, Badrulhisham Abdul Aziz daripada Berjasa memperolehi 850 undi dan dua calon Bebas, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghafar masing-masing mendapat 380 dan 32 undi.
Keputusan ini ternyata jauh sekali berbeza jika dibandingkan dengan PRU14 lalu di mana calon PH ketika itu, Dr. Md Farid Md Rafik telah menang dengan majoriti 524 undi.
PRK yang diadakan setelah 18 bulan PH menjadi kerajaan ini bukan saja menunjukkan penolakan rakyat kepada PH, tetapi juga menatijahkan penolakan kepada Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.
Meskipun Tun Mahathir datang berkempen ke Tanjung Piai, berceramah dan bermesyuarat dengan Ketua-Ketua Peti Undi serta menulis surat terbuka kepada pengundi menjelang hari pengundian, penolakan mereka kepada calon Bersatu yang bermakna suatu referendum terhadap kepimpinannya adalah sesuatu yang terang lagi nyata.
Tun Mahathir jelas sudah kehilangan aura dan tidak lagi mampu menarik sokongan rakyat kepada PH dan kerajaan yang dipimpinnya.
Ini bermakna, berbanding 13 kerusi Parlimen yang dimenangi Bersatu pada PRU14 lalu, kini hanya tinggal 12 kerusi saja.
Sebelum ini, dalam PRK Semenyih, calon Bersatu juga telah kecundang, walaupun menang dalam PRU14.
Termasuk kalah di Cameron Highlands dan Rantau, bererti PH sudah kena 0-4 kepada BN secara berturut-turut hanya dalam waktu beberapa bulan saja.
Dengan satu demi satu kehilangan kerusi ini, bukan saja masa depan Bersatu nampak suram, bahkan jalan di hadapan untuk PH pun turut jadi kelam selagi Tun Mahathir tidak berundur daripada jawatannya.
Beliau kini tidak ada pilihan lain selain menyedari masanya untuk berundur telah tiba, sesuai dengan usia dan kudrat yang semakin menua serta auranya yang sudah tiada.
Klimaks Tun Mahathir adalah PRU14 lalu dan selepas itu, segala-galanya sudah merosot buatnya kerana beliau ternyata gagal mempamerkan prestasi yang memuaskan hati rakyat.
Ibarat pengurus pasukan bolasepak, kekalahan berturut-turut ini sudah mewajarkan untuk Tun Mahathir berundur secara terhormat sebelum terlambat.
Lagi lama beliau duduk sebagai Perdana Menteri, percayalah, lagi merosot sokongan rakyat kepada PH dibuatnya.
Melalui keputusan di Tanjung Piai ini, katalah jika ada PRK lagi di kawasan Bersatu selepas ini, arus penolakan pengundi pasti tidak akan jauh berbeza.
Bagi kebanyakan rakyat, walaupun mengakui beliau bekerja selama 18 jam sehari, Tun Mahathir sudah gagal dalam tempoh 18 bulan ini.
Di sebalik berbangga bekerja selama 18 jam, hakikatnya tidak ada apa-apa yang berkembang – ekonomi, perniagaan, pasaran saham, kadar ringgit, hutang negara, mewujudkan pekerjaan dan macam-macam lagi – semuanya nampak makin merudum berbanding era BN dahulu.
Itu belum dikira lagi dengan janji manifesto yang bukan saja gagal ditunaikan, tetapi bagaikan sengaja tidak mahu ditunaikan dengan alasan “buku manifesto bukanlah kitab suci.”
Yang nampak berkembang selama 18 bulan ini hanya satu – jumlah Ahli Parlimen Bersatu bertambah daripada 13 kepada 26 orang, selain entah tiba-tiba Ahli Parlimen musuh daripada UMNO dan Pas mahu khidmat Perdana Menterinya dipanjangkan lagi.
Walhal, dengan kekuatan yang cukup untuk menubuh kerajaan dan menjadi Perdana Menteri bersama PH, Tun Mahathir sebenarnya tidak perlu lagi menambahkan sokongan daripada luar atau menyediakan kolam untuk katak melompat ke dalam Bersatu jika beliau benar-benar menyedari, berdasarkan perjanjian yang ditandatanganinya, dirinya hanyalah Perdana Menteri sementara saja.
Dalam erti kata lain, dalam 18 jam bekerja itu Tun Mahathir seolah-olah lebih banyak menumpukan kepada urusan politik dan menguatkan dirinya berbanding memulihkan keadaan negara sebagaimana janjinya, di sebalik tubuh yang makin tua dan kudrat semakin tiada upaya.
Inilah yang menyebabkan rakyat jadi hilang kepercayaan dan kini secara terbuka menolaknya melalui isyarat yang ditunjukkan dalam beberapa PRK.
Lantaran itu, keperluan kepada pengurus baru sudah tidak dapat dielakkan lagi. Pengurus yang gagal, jika tidak segera diganti, hanya akan membawa kepada lebih kegagalan di masa depan.
Dalam tempoh sebelum atau selewat-lewatnya Mei 2020, pengurus baru yang lebih berstamina harus segera diberi peluang, menunjukkan bakat serta wibawanya jika tidak mahu Piala Liga terlepas begitu saja. (ShahbudinHusin 16/11/2019)