Kongres AMK: Azmin tak balas surat jemputan
Kenyataan Timbalan Presiden YB Mohamed Azmin Ali bahawa isu jemputan perasmi Kongres Angkatan Muda Keadilan Nasional sebagai cubaan menutup mulut beliau adalah tidak masuk akal.
Menyifatkan Ketua AMK YB Akmal Nasir sebagai lemah dan seolah-olah beliau dikawal oleh tangan ghaib, adalah kenyataan yang dangkal dan tidak seharusnya dikeluarkan oleh timbalan presiden.
Sebagai timbalan presiden beliau tetap mempunyai ruang tersendiri dalam kongres nasional parti untuk mengutarakan pandangan.
Saya berpendapat bahawa isu ini tidak harus diperbesarkan kerana tidak membawa sebarang keuntungan kepada rakyat terlebih lagi ketika Pakatan Harapan sedang berhadapan pilihanraya kecil di Tanjung Piai.
Sepertimana kelaziman, AMK telah menghantar surat rasmi pada 11 September 2019 untuk menjemput Timbalan Presiden YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bagi merasmikan Kongres AMK.
Namun sehingga ke tarikh mesyuarat bulanan Majlis Pimpinan AMK pada 20 Oktober yang lalu, pihak sekretariat memaklumkan tidak menerima sebarang jawapan rasmi dari pihak timbalan presiden.
Keputusan untuk menjemput Timbalan Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dibuat sebulat suara pada mesyuarat bulanan MPAMK yang dihadiri lebih 30 orang Ahli Majlis Pimpinan AMK.
Beliau dijemput atas kapasiti sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat merangkap Timbalan Perdana Menteri.
Mesyuarat berpandangan adalah wajar menjemput Wan Azizah bagi meraikan jasa dan pengorbanan beliau sebagai presiden sebelum ini dan memandangkan buat pertama kalinya dalam sejarah Keadilan memiliki Timbalan Perdana Menteri.
Sekadar makluman tiada sebarang peraturan mengikat kemestian untuk menjemput timbalan presiden bagi merasmikan Kongres AMK.
Jemputan kepada timbalan presiden untuk merasmikan kongres hanyalah tradisi dan ini bukanlah kali pertama AMK menjemput perasmi selain timbalan presiden.
Justeru itu saya dengan rasa rendah diri selaku salah seorang pimpinan kanan AMK ingin menjemput Azmin Ali untuk turut hadir Kongres AMK bagi memberikan penghormatan kepada mantan presiden parti merangkap timbalan perdana menteri.
Saya juga menyeru AMK untuk berhenti berbalah diatas isu remeh temeh dan kembali fokus kepada agenda utama untuk memantapkan Pakatan Harapan.
SYED BADLI SHAH SYED OSMAN
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan