Bendera lima bucu: Kemarahan merentasi politik, agama
Tindakan pihak tertentu yang memaparkan Jalur Gemilang bintang pecah lima pada majlis perasmian kejohanan bola keranjang di Stadium Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) mendapat perhatian Mufti Perlis.
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, tindakan tersebut merupakan satu bentuk penghinaan dan perbuatan yang melampau itu perlu diambil tindakan.
Menurutnya lagi, kerajaan perlu bertindak tegas dalam menangani isu itu bagi memastikan pengurusan negara dijamin kedaulatannya.
“Jika mereka terlepas, ia menunjukkan bahawa kerajaan tidak serius dalam isu sebegini,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook miliknya hari ini.
Terdahulu, banyak pihak menggesa supaya tindakan dikenakan terhadap pihak bertanggungjawab atas kesilapan memaparkan bendera itu.
Malah, walaupun MABA telah memohon maaf, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Teo Kok Seong terus menggesa supaya tindakan diambil.
“Imej negara tercalar dengan perbuatan biadab ini. Walaupun mereka sudah meminta maaf, namun kesalahan yang dilakukan cukup besar.
“Penganjur perlu bertanggungjawab dan membuat pemantauan sebelum tayangan video dimainkan, tolonglah hentikan budaya buat silap soal bendera negara,” katanya.
Menurut Kok Seong, adalah sangat pengkhianatan memalukan apabila rakyat Malausia tidak mengenali bendera negara sendiri.
Jalur Gemilang tegasnya bukan untuk dipersendakan kerana ia dianggap lambang kepada kedaulatan negara.
“SAYA sedih dan marah, Jalur Gemilang satu lambang kedaulatan negara, jangan ambil mudah. Lebih-lebih lagi ketika ini terlalu banyak insiden berlaku membabitkan bendera negara seperti diterbalikkan, putih jadi hitam dan orang asing pakai seluar dalam bendera kita.
“Cari saja di internet, banyak bendera kita yang boleh dijadikan contoh, kenapa perlu menggunakan bintang berbucu lima dengan 11 jalur, memang perbuatan ini sengaja dilakukan.” tegasnya lagi.
Isu tersebut bukan sekadar mendapat perhatian rakyat, namun Raja Permaisuri Agong, Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menyatakan rasa murkanya.
Melalui hantaran di Twitter rasminya, Tuanku menegaskan bahawa simbol kedaulatan negara itu tidak boleh dipermainkan.
“Tiada siapa yang berhak untuk mengubah bendera tanpa persetujuan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja-raja Melayu sebelum dibawa ke Parlimen,” ciap Baginda. –