AZMIN SUDAH HILANG KELAYAKKAN RASMIKAN KONGRES



Sayap Pemuda dan Wanita PKR diberitakan sedang dalam dilema sama ada mahu menjemput Azmin Ali atau tidak untuk merasmikan kongres mereka hujung tahun ini.
Mengikut tradisi, perasmian kongres Pemuda dan Wanita PKR adalah dirasmikan oleh Timbalan Presiden.
Bagaimanapun, berdasarkan perkembangan semasa dan perangai Azmin Ali yang seolah-olah tidak setia dan hatinya tidak lagi bersama PKR dengan tidak pernah hadir mesyuarat sejak setahun yang lalu, mereka kini dikatakan sedang menimbang untuk menjemput Dr. Wan Azizah Wan Ismail melakukan perasmian.
Dalam hal ini, Azmin sebenarnya sudah lama hilang kelayakan untuk menjalankan tugasnya sebagai pemimpin nombor dua dalam PKR, apa lagi untuk diraikan bagi merasmikan kongres sayap parti.
Beliau bukan saja tidak pernah hadir mesyuarat, sama ada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat atau Biro Politik sejak November 2018, malah dalam banyak keadaan secara terbuka menyanggah Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR.
Tidak pernah dalam dunia ini ada pemimpin nombor dalam mana-mana parti, tetapi mengabaikan tanggungjawabnya sejak kira-kira setahun yang lalu dan secara terbuka lebih menyanjung ketua parti lain berbanding ketua partinya sendiri.
Apakah jenis Azmin ini sebenarnya?
Kalau pun sibuk sebagai menteri, apakah beliau seorang saja yang sibuk dalam dunia ini?
Mengapa pemimpin lain, terutamanya Tun Mahathir Mohamad sentiasa boleh membahagikan masa antara tugas untuk negara dan tanggungjawab kepada parti?
Begitu juga, kenapa pemimpin PKR lain yang turut berjawatan menteri, kecuali Zuraidah Kamaruddin, sentiasa boleh menghadiri mesyuarat parti?
Dengan perangai yang ditunjukkan Azmin sejak setahun yang lalu, beliau tidak saja tidak layak lagi merasmikan kongres sayap PKR, bahkan patut malu dengan dirinya jika mahu hadir juga melakukan perasmian.
Beliau sebaliknya patut dikenakan tindakan kerana ada mustahil tidak boleh hadir mesyuarat selama setahun lamanya, kecuali ianya memang disengajakan.
Apa yang mahu ditemberang oleh Azmin dalam ucapan perasmian kongres itu nanti jika dirinya sendiri tidak betul dan penuh kepalsuan?
Maka, tidak patut ada rasa bersalah kepada sayap Pemuda dan Wanita jika mereka tidak menjemput Azmin kali ini.
Bahkan, itulah tindakan terpuji untuk mengajar pemimpin yang sudah lupa kepada tanggungjawab sendiri dan tidak sedar agaknya tapak mana yang menaikkannya selama ini. (ShahbudinHusin 01/11/2019)