Abaikan pemimpin ‘ngok ngek naik junjung’ – Anwar
Berucap pada Konvensyen KEADILAN Wilayah Persekutuan semalam, Anwar menegaskan bahawa sudah sampai masanya ahli parti itu mengabaikan golongan tertentu yang mahu membelakangkan agende rakyat yang dibawa parti itu dan Pakatan Harapan (HARAPAN) khususnya.
Anwar turut menyifatkan golongan tersebut sebagai ‘ngok-ngek’ yang tidak lagi releven dengan perjuangan reformasi.
“Tumpu kepada agenda rakyat, satu dua ni ngok-ngek ngok-ngek ni biarlah, not relevant,” katanya.
Tanpa menamakan mana-mana individu, ucapan Anwar diyakini merujuk kepada timbalannya, Mohamed Azmin Ali, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan para penyokong mereka.
Kedua-dua mereka sebelum ini dilapor ingkar menghadiri mesyuarat yang diadakan parti itu, malah mereka sering mengeluar kenyataan tidak sepatutnya terhadap Anwar termasuk dalam isu peralihan kuasa seperti disepakati pemimpin HARAPAN.
Sementara itu, Anwar turut mengingatkan pemimpin KEADILAN agar tidak lupa mereka dikenali dalam politik disebabkan parti dan wajar berkhidmat dengan baik bagi menjaga nama baik parti itu
“Itu peringatan, saya sendiri jadi presiden kerana dukungan ahli, bila saya pimpin kena fikir. Satu peringatan umum yang perlu difahami oleh semua pemimpin,” tambah Anwar sambil mengkritik sikap beberapa pemimpin yang kini bersikap seolah-olah seperti menteri Umno.
“Menang (PRU) ini mulanya pelaksanaan tanggungjawab rakyat, tapi sesetengah kita fikir dah menang semua betul, kadang-kadang tengok jawapan-jawapan ni, aku tengok ish, macam menteri Umno.
“(Mereka kata) Kita semua faham dan perkara ni dah kita laksanakan, rakyat semua memang faham dan senang hati, rakyat mana yang senang hati?
“Patut kita dengar, ada rasa rendah diri untuk mengakui masalah,” tegas Anwar.