Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad mempertahankan tindakan beberapa menteri mengumumkan peruntukan pembangunan menjelang pilihanraya kecil di Tanjung Piai.
Katanya, pengumuman itu tidak ada kena mengena dengan cubaan mendapatkan undi dan cuma kebetulan dengan adanya pilihanraya kecil di kawasan itu.
“Memang menjadi amalan kerajaan, pengumuman mengenai sesuai projek atau peruntukan dibuat dari semasa ke semasa.
“Kerajaan meneruskan urusan pentadbiran seperti biasa kerana proses pengumuman calon untuk bertanding di Tanjung Piai belum berlaku.
“Sebelum dinamakan calon, kerajaan menjalankan tugas biasa.
“Waktu mana pun (kita) buat peruntukan, tetapi (sewaktu kita) buat peruntukan (baru-baru ini), secara kebetulan ada PRK di situ,” kata Tun Mahathir lagi.
Betulkah cuma kebetulan?
Tapi, kenapa semua menteri hanya berebut-rebut mengumumkan peruntukan pembangunan untuk Tanjung Piai saja?
Kenapa tidak di kawasan-kawasan lain?
Apakah kawasan-kawasan lain tidak memerlukan pembangunan?
Soal calon belum diumumkan tidak harus dijadikan hujah bahawa ia bukan cubaan untuk membeli undi kerana semua orang tahu tarikh pilihanraya sudah pun ditetapkan pada 16 November depan.
Lagi pula, bukankah sudah diumumkan calon PH yang akan bertanding di Tanjung Piai adalah daripada Bersatu, parti yang dipimpin oleh Tun Mahathir sendiri?
Adakah mentang-mentang calon yang bertanding daripada Bersatu, maka membeli undi jadi halal belaka?
Tun, janganlah cuba perbodohkan rakyat dalam era Malaysia Baru ini? (ShahbudinHusin 23/10/2019)