TAK LOGIK KAITKAN PENANGKAPAN DENGAN TANJUNG PIAI



Berhubung penahanan beberapa pemimpin DAP di bawah Sosma kerana dikaitkan mempunyai hubungan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam atau LTTE, para pemimpin parti itu seharusnya belajar mengawal diri.
Dalam keghairahan sebahagian pemimpinnya mengeluarkan kenyataan mempertikaikan tindakan polis melakukan penangkapan itu, mereka mesti sedar mereka kini adalah sebahagian daripada kerajaan yang memerintah negara jni.
Sebagai parti kerajaan, kenyataan yang dikeluarkan tidak boleh lagi seperti ketika DAP dalam pembangkang sebelum ini.
Sebagai pembangkang dahulu, tentu saja DAP boleh mengeluarkan kenyataan yang keras atau seumpamanya, tetapi setelah berada dalam kerajaan, langkah itu tidak perlu lagi.
Jika ia dilakukan, bermakna DAP sebagai kerajaan telah mempertikaikan kerajaan yang ia menjadi sebahagian daripadanya.
Tidakkah ia nampak macam kelakar dan tidak munasabah?
Yang paling tidak logik ialah apabila seorang pemimpin DAP, M Kulasegaran mendakwa, tangkapan yang dilakukan polis itu adalah kerana PRK Tanjung Piai yang akan diadakan tidak lama lagi.
Di mana logiknya tangkapan pemimpin DAP yang dikaitkan dengan LTTE itu ada kaitannya dengan PRK Tanjung Piai, sedangkan DAP bersama PH adalah sebahagian kerajaan yang sedang memerintah dan bukannya pembangkang?
Adakah kerajaan sendiri mahu mensabotaj calon parti kerajaan?
Lagi pula, yang bertanding di Tanjung Piai adalah Bersatu yang mungkin berhadapan dengan calon UMNO atau MCA?
Apa kaitannya DAP dan LTTE dengan Tanjung Piai?
Kalau mahu dikata untuk mendapatkan undi masyarakat India pula, ia juga tidak masuk akal kerana jumlah pengundi India di Tanjung Piai hanya satu peratus saja serta tidak banyak pengaruhnya.
Dalam hal ini, harus difahami tindakan polis itu adalah semata-mata demi keselamatan negara daripada ancaman pengganas dan keganasan.
Orang Islam sendiri sebelum ini ramai yang ditahan kerana dikaitkan dengan Al-Qaeda, Isis dan lain-lain kumpulan yang dikaitkan dengan keganasan.
Kenapa ketika itu kita semua boleh menerimanya?
Kenyataan Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin bahawa polis mempunyai bukti kukuh dalam melakukan tanggapan itu hendaklah diyakini dan dipercayai sepenuhnya demi keselamatan negara ini.
DAP kena banyak bertenang menghadapi keadaan ini dan berilah kepercayaan kepada pihak polis menjalankan tugasnya.
Dalam masa yang sama, sedarlah juga DAP kini sudah jadi kerajaan, bukan pembangkang macam dulu lagi.
Sudah jadi kerajaan, tindakan atau kenyataan mesti macam kerajaan juga.
Gunakanlah saluran yang betul dalam kerajaan untuk menyuarakan sesuatu perkara atau bantahan.
Lupakanlah perangai pembangkang seperti sebelum ini, kecuali jika DAP sudah rindu mahu jadi pembangkang semula? (ShahbudinHusin 13/10/2019)