SUDAH ADA PERJANJIAN, JADI KENAPA AZMIN BUAT TAK FAHAM?



Tiada apa-apa yang pelik dan mengejutkan apabila Azmin Ali terus menyuarakan pandangan agar Tun Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal, walaupun gesaannya itu jelas bercanggah dengan ketetapan PH sendiri.
Dalam gesaan terbarunya, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata, Tun Mahathir harus dibiarkan kekal sebagai Perdana Menteri sehingga PRU15 akan datang.
“Kalau ada pihak yang hendak meroboh pentadbiran dan kerajaan lebih awal daripada itu, dua tahun atau satu tahun, itulah sebenarnya kerajaan pintu belakang.
“Sepatutnya biarlah Tun Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri hingga selesai tempoh penggal ini kerana itu mandat diberikan rakyat,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Bukan Azmin tidak sedar gesaannya adalah bercanggah dengan ketetapan PH, tetapi apa lagi yang mampu dilakukannya selagi siasatan kes semburit yang dikaitkan dengannya masih tidak selesai.
Hanya dengan terus mengampu dan menjilat Perdana Menteri saja satu-satunya cara untuk memastikan fail siasatan polis terhadapnya terus tersimpan dan terperam.
Kalau diikutkan logik, tidak munasabah kes semudah itu boleh berlarutan sehingga lima bulan masih lagi dalam siasatan polis, sedangkan sudah ada video sebagai buktinya serta pengakuan Haziq yang mendakwa beliaulah pasangan Azmin dalam video tersebut.
Tindakan polis melewat-lewat pengumuman hasil siasatan dipercayai ramai tidak lain ialah untuk melindungi dan menyelamatkan Azmin.
Dalam masa yang sama, beberapa kenyataan Tun Mahathir berkaitan isu tersebut seperti mengatakan ia adalah isu politik untuk menjatuhkan Azmin semata-mata, mengukuhkan lagi kepercayaan ramai bahawa Azmin memang sedang dilindungi.
Kenyataan Tun Mahathir itu sama sekali berbeza ketika beliau memecat Anwar Ibrahim pada 1998 dahulu dengan mengatakan pemecatan yang dilakukannya adalah kerana moral dan bukan disebabkan politik.
Kenapa pendirian Tun Mahathir berbeza antara 1998 dengan 2019 jika bukan untuk melindungi Azmin?
Dengan pendirian Tun Mahathir itu berserta tindakan polis yang sedia dilihat tidak cekap di mata umum, maka selagi itulah Azmin akan terus menyokong, membodek dan menjilat Perdana Menteri untuk menyelamatkan dirinya.
Kalau Tun Mahathir berundur tahun depan misalnya, belum tentu Azmin akan selamat selepas itu, tetapi jika Perdana Menteri kekal sehingga habis penggal, maka lebih lamalah lagi dirinya akan dilindungi.
Lebih-lebih lagi jika dengan peredaran masa dan tempoh lebih lama memegang jawatan Perdana Menteri, Tun Mahathir dapat mencatur kedudukan Azmin dengan lebih baik lagi.
Itulah yang diharap-harapkan Azmin dengan tidak henti-henti membuat gesaan yang bercanggah dengan ketetapan PH itu.
Sesuatu yang Azmin mesti sedar ialah mandat rakyat sehingga PRU15 akan datang bukanlah untuk Tun Mahathir terus menjadi Perdana Menteri sehingga ke tempoh itu, tetapi merupakan jangka masa bagi PH berkuasa sebagai kerajaan.
Menukar kerajaan sebelum tempoh lima tahun atau tanpa melalui pilihanraya semula adalah sesuatu yang tidak bermoral kerana ia merupakan pilihan oleh rakyat, tetapi tidak ada kena mengena dengan kedudukan Perdana Menteri.
Sebab itulah diadakan perjanjian yang melibatkan semua parti dalam PH yang menghendaki penyerahan jawatan kepada Anwar mesti dilakukan setelah Presiden PKR itu bebas daripada penjara, diberi keampunan dan boleh kembali aktif dalam politik.
Jika mandat kemenangan PH dalam PRU14 iaitu selama lima tahun itu adalah bersekali dengan tempoh Tun Mahathir mesti menjadi Perdana Menteri, untuk apa perjanjian penyerahan jawatan kepada Anwar perlu diadakan?
Tidakkah adanya perjanjian itu dengan sendirinya bermakna Tun Mahathir tidak harus menjadi Perdana Menteri sehingga ke habis penggal? (ShahbudinHusin 22/10/2019)