Revolusi Industri 4.0: Kerajaan perlu dasar lebih mantap
Perlantikan semula Joko Widodo sebagai Presiden Indonesia membawa janji rebuplik itu akan menumpukan pembangunan berasaskan teknologi baharu Revolusi Industri 4.0. (IR 4.0)
Antara usaha Jokowi adalah melantik pengasas Gojek – satu industri penghantar barang masa hadapan milik tempatan – Nadiem Makarim sebagai menteri bagi memastikan IR 4.0 mendapat momentumnya.
Bagaimanapun, masih belum jelas bagaimana kerajaan baharu Malaysia akan menangani arus IR 4.0 di negara ini.
Bagi Ahli parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid menteri-menteri kabinet yang terlibat harus bergabung bersama para cendiakawan untuk mewujudkan polisi IR 4.0 sebagai persediaan masyarakat berdepan cabaran baharu
“Revolusi ini memerlukan dua gabungan di antara manusia dan mesin, dan tugas kerajaan untuk menyedarkan rakyat dengan memberikan mereka motivasi agar sentiasa bersedia berdepan dengan fenomena ini.
“Ini yang akan menggantikan pekerja berkemahiran. Kita terpaksa hadapi gelombang ini tapi kerajaan kena bersedia,” katanya dipetik Suara Keadilan.
Untuk itu, katanya, kerajaan boleh mengambil langkah memperkenal silibus baharu berkenaan IR 4.0 dalam sistem pendidikan Malaysia agar generasi muda boleh menyesuaikan diri dengan mudah dalam gelombang revolusi digital tersebut.
“Sekarang waktu untuk kita mendidik bukan sahaja dari peringkat universiti, tapi di peringkat Sekolah Menengah dan juga kita boleh melatih minat anak-anak pada peringkat Sekolah Rendah,” jelasnya.
Menurutnya lagi, kewujudan gelombang baru ini perlu dipandang dari pelbagai sudut oleh pihak menteri yang terlibat dan kajian secara terperinci harus dilakukan. Iaitu keseimbangan di antara pihak majikan dan pekerja.