Peralihan kuasa Tun M – Anwar berlaku ikut jadual
Pakatan Harapan (PH) tidak berganjak daripada keputusan sebelum pilihan raya umum (PRU) ke 14 berkenaan peralihan kuasa antara PM Tun Mahathir dan Presiden PKR Anwar Ibrahim
Pakar strategi DAP, Liew Chin Tong berkata rancangan peralihan yang dipersetujui itu bukan antara Anwar dan Dr Mahathir sahaja tetapi melibatkan kepimpinan tertinggi kesemua empat parti komponen PH dan mereka tidak pernah mengkaji semula hal itu.
Walaupun Timbalan Menteri Pertahanan itu mengakui, terdapat pihak di dalam PH yang tidak mahu peralihan kuasa terjadi.
“Ada orang tidak mahu peralihan itu berlaku. Tetapi yang pentingnya siapa yang buat perjanjian itu. Pemimpin-pemimpin utama yang terbabit masih berpegang pada perjanjian itu
“Dr Mahathir dan Anwar, mereka sudah dengan jelas memberi respons kepada persoalan peralihan itu.
“Sudah tentu ada orang yang mempunyai perbezaan pandangan, kita tidak boleh halang. Apa yang penting ialah sehingga hari ini, orang yang membuat janji itu masih berpegang padanya,” kata Chin Tong dipetik The Malaysian Insight.
Perjanjian tersebut termeterai pada 7 Januari 2018 apabila pemimpin kanan empat parti bersetuju menetapkan Pengerusi PH Tun Mahathir sebagai calon PM dan Presiden PH Dr Wan Azizah sebagai Timbalan PM bagi PRU14.
Anwar yang dipenjarakan tetapi mendapat sokongan PKR, DAP dan Amanah, bersetuju untuk membenarkan Dr Mahathir mengetuai perikatan itu dan menjadi perdana menteri.
Sebagai pertukaran kerajaan PH akan membebaskan Anwar, mendapatkan pengampunan diraja dan Dr Mahathir akan menyerahkan jawatannya kepada Anwar pada pertengahan penggal pentadbiran.
Oleh sebab tidak ada rangka masa yang tepat, penyokong Anwar mempersoalkan sama ada peralihan itu akan berlaku, sementara Dr Mahathir berkata beliau tidak akan kekal memegang jawatan melebihi tiga tahun.
Kerajaan campuran
Selain itu, Liew juga memberitahu andaian kerajaan PH milik pentadbiran Dr Mahathir atau selepas ini “milik” Anwar adalah tidak tepat. Begitu juga tohmahan DAP menguasai kerajaan.
“Ini kerajaan gabungan. Ia bukan kerajaan di mana DAP buat keputusan atau Bersatu paling kuat. Ini kerajaan yang dipimpin oleh kedua-duanya, Dr Mahathir dan Anwar.
“Ini kerajaan PH. Bukan hanya kerajaan Dr Mahathir dan selepas Anwar ambil alih, ia tidak jadi kerajaan Anwar.
“Ia tidak bermakna selepas Anwar ambil alih, beliau akan ketepikan Dr Mahathir. Saya tidak fikir ia patut berlaku begitu, kerana semua pemimpin kanan faham bahawa ini adalah kerajaan campuran,” kata Liew.