Pengakuan Tun Mahathir Mohamad berhubung alasan dan sebab-sebab PH gagal menunaikan janji manifesto secara mutlaknya menunjukkan kegagalan beliau sebagai peneraju negara yang pernah ada pengalaman selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri sebelum ini.
Hakikatnya, sungguh memalukan dan seolah-olah satu penipuan kepada rakyat apabila beliau memberitahu, PH sengaja meletakkan perkara-perkara yang susah dalam manifesto kerana merasakan akan kalah PRU14 lalu.
“Sebenarnya, kami ingat kami akan kalah, jadi kami letak perkara-perkara yang susah (untuk direalisasikan) dalam manifesto, supaya jika kami kalah, kerajaan (lama) akan terperangkap.
“Tapi sekarang kami jadi kerajaan, kami jadi mangsa kepada manifesto kami sendiri,” katanya.
Tidak logik dan tidak masuk akal sama sekali sebenarnya alasan yang diberi oleh Tun Mahathir kerana beliau pernah ada pengalaman selama 22 sebagai Perdana Menteri sebelumnya.
Jika yang berkata demikian adalah pemimpin yang tiada pengalaman atau tidak pernah menjadi ketua kerajaan, barangkali hujah beliau itu boleh juga diterima kebenarannya.
Namun, apabila Tun Mahathir yang ada pengalaman 22 tahun berkata seperti itu, ia memang tidak logik serta tidak boleh diterima sama sekali.
Dengan pengalaman yang bukan sedikit itu, beliau tentu sedar dan arif antara perkara yang dilaksanakan dengan yang tidak boleh dilaksanakan.
Tambahan lagi, sepanjang kempen PRU14 beliau turut menjaja dan mengulang-ulang beberapa kandungan dalam manifesto itu bagi tujuan meyakinkan lagi rakyat agar BN dapat ditumbangkan.
Sekarang, mengapa hanya setelah 16 bulan duduk sebagai kerajaan, baru menyedari banyak perkara dalam manifesto adalah perkara-perkara yang tidak boleh ditunaikan?
Apa gunanya pengalaman selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri itu adalah dalam dirinya?
Apa pun, dengan pengakuan itu, ia dengan jelas menunjukkan Tun Mahathir kini telah gagal sama sekali sebagai Perdana Menteri yang mengetuai kerajaan PH.
Beliau terbukti tidak mampu dan hilang keupayaan diri, malah melanjutkan lagi tempoh perkhidmatannya akan membawa lebih bahaya kepada masa depan PH.
Kegagalan ini adalah kegagalan mutlak bagi Tun Mahathir, tetapi masih cuba berdalih untuk memperbodohkan rakyat.
Jika menunaikan janji manifesto atau pembaharuan yang melibatkan keperluan undi dua pertiga di Parlimen sebagai halangan, tidaklah menjadi masalah untuk sesiapa memahaminya.
Masalahnya, bagaimana dengan janji-janji manifesto yang lain?
Apakah semua kandungan manifesto seperti janji menghapuskan hutang tidak wajar peneroka Felda dan gaji RM4,000 baru perlu membayar pinjaman PTPTN, turut memerlukan kelulusan dua pertiga di Parlimen juga?
Berdasarkan kegagalan ini, Tun Mahathir bukan saja tidak layak lagi menerajui negara dengan lebih lama, bahkan suatu dosa bagi sesiapa yang mencadangkan khidmatnya dilanjutkan sehingga habis penggal.
Ini kerana lagi lama khidmatnya menerajui negara ini, lagi sengsara rakyat dan jahanam PH dibuatnya.
Untuk atau menjelang PRU15 akan datang, Tun Mahathir pasti tidak akan dipercayai lagi oleh rakyat dan kegagalan mutlaknya itu adalah pembunuh kepada masa depan PH.
Tun Mahathir wajar sepenuhnya diganti dalam kadar segera dengan pemimpin lain yang bukan saja memahami serta menjiwai reformasi, malah mengasaskan semangat reformasi itu sendiri.
Hanya pemimpin bukan reformis palsu saja yang akan bersungguh-sungguh menunaikan janji dan melaksanakan pembaharuan untuk negara ini. (Shahbudindotcom 05/10/2019)