Mat Sabu realistik peluang di Tanjung Piai
Presiden Amanah, Mohamad Sabu mengambil pendekatan realistik apabila mengakui Pakatan Harapan (HARAPAN) sukar untuk mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.
Menurutnya, faktor pengundi luar yang dijangka tidak ramai pulang pada PRK itu nanti jelasnya antara sebab mengapa beliau berpandangan begitu.
“Selalunya PRK memang kita (HARAPAN) sukar untuk mencapai kemenangan. Terutama sekali pengundi-pengundi luar, sama ada bekerja di Singapura, Australia dan tempat-tempat lain.
“Banyak yang tidak pulang sebab mereka menganggap siapa menang pun tak dapat mengubah kerajaan.
“Tapi kalau PRU, mereka sanggup berbelanja sendiri untuk pulang, walaupun mereka habis lima atau enam ribu Ringgit,” katanya dipetik.
Mohammad yang juga Menteri Pertahanan membuat jangkaan itu berdasarkan beberapa pilihan raya sebelum ini antaranya PRK Teluk Intan pada tahun 2014, yang menyaksikan pembangkang pada masa itu tewas kepada Barisan Nasional (BN) walaupun kerusi tersebut merupakan kubu kuat DAP.
Sementara itu, Ketika ditanyakan mengenai calon yang bakal diketengahkan HARAPAN pada PRK itu, Muhammad berkata ia belum dibincangkan lagi.
“Notis mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN bagi membincangkan calon pada PRK berkenaan masih belum diterima.
“Belum lagi dapat notis kerana perdana menteri baru pulang hari ini (dari luar negara). Esok mesyuarat kabinet. Dan barangkali esok akan dibagitahu oleh Tun (Dr Mahathir Mohamad) bila mesyuarat PH,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan PRK Tanjung Piai akan diadakan pada 16 Novembe, hari penamaan calon pula ditetapkan pada 2 November. – RF8 Media