Langkah Hishammuddin goncang Umno?
MSO
Di awal-awal tersebarnya desas desus ada segolongan ahli parlimen Umno akan meninggalkan parti itu dan melompat kijang dan katak untuk menyertai Bersatu, saya sudah mendapat maklumat mengenai angka yang akan “belut” itu, yakni seramai 29 orang.
Mula-mula yang mendedahkan angka ini kalau tidak silap A Kadir Jasin. Mereka itu diketuai oleh ahli parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein Onn. Kadir menulis melaporkan yang Hishammuddin ada berjumpa dengan Dr Mahathir dan bertanya apa tujuannya.
Beberapa hari kemudian saya berjumpa salah seorang MP dan bercerita mengenai hal itu. MP ini tidak menyebut yang dia juga ikut serta dalam rancangan lompat melompat itu alias khianat kepada partinya, namun dia menyebut mengenai angka itu, 29 orang. Mungkin dia juga mengguna pakai angka disebut Kadir.
Saya menafi dan meragui akan angka itu, kata saya apa yang munasabah tidak lebih 10 orang sahaja ahli parlimen Umno akan menyertai Bersatu. Mereka itu semuanya adalah orang yang mula ketar dan menggeletar ekoran perubahan kerajaan.
Kemudian selepas itu dilaporkan seramai enam orang MP Umno menyertai Bersatu, dan salah seorangnya ialah MP yang berjumpa dengan saya itu. Selepas itu dia berjumpa dengan saya, kemudian mengiyakan apa yang saya kata.
“Benarlah yang awak kata, tak sampai 30 orang hanya enam orang sahaja.” Katanya sambil menambah kata, Hishammuddin “berlawak”, bohong.
Dan hari ini sekumpulan lagi MP Umno telah menyatakan pendiriannya agar Dr Mahathir kekal sebagai PM sehingga habis penggal. Mereka adalah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Mastura Mohd Yazid; Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah; Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris; Ahli Parlimen Maran, Ismail Abd Mutallib dan Ahli Parlimen Lipis, Abdul Rahman Mohamad.
Apakah mereka ini yang tergolong dalam kumpulan 29 dahulu itu dan mereka tercicir atau mengambil masa untuk mengumumkan diri menyertai Bersatu? Jika mereka ini tergolong dalam angka 29 itu bermakna sudah 11 orang MP Umno menyokong Dr Mahathir. Ertinya daripada 29 itu ada terdapat 18 orang lagi masih belum mengumumkan pendirian mereka.
Boleh difahami mereka yang menyokong Dr Mahathir agar terus kekal jadi PM itu adalah mereka yang tidak mahu dan cuba menghalang konsensus PH yang sudah bersetuju Anwar akan jadi PM selepas dua tahun Dr Mahathir memegang jawatan itu.
Apa yang boleh dicongakkan di sini, 30 orang sahaja lagi MP Umno yang masih belum menyatakan pendirian. Mereka termasuk Hishammuddin Hussein sendiri, Najib Razak dan juga Mohd Zahid Hamidi.
Tindakan terbaharu dibuat oleh lima orang MP Umno itu boleh dikira dalam usaha untuk mengajak rakan-rakannya yang lain agar ikut memberi sokongan kepada Dr Mahathir. Namun saya yakin ia tindakan akan mencapai maksud itu selagi Dr Mahathir tidak berkompromi dengan Najib Razak dan Zahid Hamidi dengan melepaskan mereka daripada puluhan tuduhan yang dikenakan ke atas mereka berdua itu.
Apakah pengorbanan MP Umno yang bersama Dr Mahathir itu mereka bukan sangat untuk melihat Dr Mahathir kekal sebagai PM tetapi mahu melepaskan boss mereka yang kini sudah digapai penjara Sungai Buloh. Trims.