Khalid Samad bebas tuduhan menghasut
MenteriI Wilayah Persekutuan Khalid Samad bebas dari tuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut berhubung kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (Mais) pada 2014.
Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur siang tadi yang mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Rohatul Akmar Abdullah pada 8 Jun 2018 yang membebaskan dan melepaskan Khalid dari tuduhan itu.
Keputusan oleh Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dibuat setelah pihak pendakwaan tidak meneruskan rayuan dalam kes itu.
“Memandangkan pihak pendakwa raya tidak ingin meneruskan rayuan terhadap keputusan mahkamah sesyen yang telah membebaskan responden. Jadi, mahkamah mengekalkan keputusan mahkamah sesyen,” kata Nazlan.
Khalid, 62, didakwa mengeluarkan kenyataan menghasut itu di kawasan lobi Parlimen pada 11.30 pagi, 17 Jun 2014 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Muhammad Faiz Fadzil yang mewakili Ahli Parlimen Shah Alam itu memberitahu bahawa pihaknya sebelum ini telah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara meminta menarik balik rayuan terhadap keputusan terdahulu.
Ia bagi memastikan tidak akan timbul dakyah kononnya berlaku campur tangan dalam keputusan membabitkan kes tersebut.
“Memang ada representasi daripada peguam bela. Kami tak nak ada pihak mengatakan bahawa Yb (Khalid) dah jadi menteri ada unsur-unsur berat sebelah (keputusan tarik balik rayuan) dan sebagainya.
“Ada representasi untuk kaji balik kes (mengekalkan keputusan mahkamah sesyen) bahawa tiada kecenderungan penghasutan,” tambah beliau.
Terdahulu dalam penghakiman di Mahkamah Sesyen , Hakim berkata setelah meneliti perkataan dan perenggan ucapan dalam kes ini, mahkamah berpendapat perkataan yang dikeluarkan oleh tertuduh semasa kejadian itu adalah bersifat satu cadangan untuk mengkaji kuasa MAIS. – RF8 Media