KENAPA TIDAK LAGI DISEBUT NAMA ANWAR



Dalam tempoh kurang seminggu ini, sudah dua kali Tun Mahathir tidak menyebut nama Anwar Ibrahim sebagai bakal penggantinya.
Sebelum ini, apabila menjawab persoalan mengenai peralihan kuasa atau bakal penggantinya, beliau tidak pernah lupa menyebut nama Anwar secara terang dan nyata.
Bagaimanapun, dalam dua kenytaannya terakhir ini, Tun Mahathir dilihat tidak lagi menyebut nama Anwar, tetapi hanya menyatakan ‘calon lain’ apabila merujuk tentang penggantinya.
Ketika di New York baru-baru ini, dalam sesi dialog anjuran Majlis Hubungan Luar, Tun Mahathir berkata, beliau akan melepaskan jawatannya sebelum PRU akan datang.
“Saya bekerja 18 jam sehari kerana saya tidak mempunyai banyak masa.
“Saya janji akan berundur sebelum PRU akan datang untuk memberi laluan kepada calon lain. Saya mungkin ada masa tiga tahun paling lama,” katanya lagi.
Semalam, ketika bercakap kepada wartawan di Putrajaya, Tun Mahathir memberitahu, tempoh peralihan kuasa akan diteliti berdasarkan situasi semasa sebelum diserahkan kepada mana-mana calon yang layak.
“Kena kaji keadaan, jika kerja tak dibuat atau dibuat separuh, susahlah,” tambahnya.
Jika diperhatikan, di New York, beliau menyebut perkataan “calon lain” untuk merujuk bakal penggantinya, manakala semalam pula ayatnya ialah “mana-mana calon yang layak”.
Kenapa jadi begini?
Mengapa ayat Tun Mahathir mula berubah, dulu disebut terus nama Anwar, kemudian “calon lain” dan seterusnya “mana-mana calon yang layak” pula?
Siapa yang dimaksudkan Tun Mahathir dengan “calon lain” dan apa pula maksud “mana-mana calon yang layak” itu?
Kalau perkataan “calon lain” belum tentu merujuk kepada Anwar, bukankah perkataan “mana-mana” jelas membawa maksud lebih daripada seorang?
Dalam hal tersebut, apakah Tun Mahathir sudah lupa dengan konsensus PH yang hanya menyetujui hanya satu nama iaitu Anwar saja sebagai bakal penggantinya?
Jadi, mengapa masih disebut “mana-mana”?
Siapa calon “mana-mana” itu sebenarnya?
Ikhlaskah Tun Mahathir untuk memenuhi janji konsensus penyerahan jawatan yang telah disetujuinya selama ini?
Tetapi, jika benar Tun Mahathir ada “mana-mana” calon lain selain Anwar dalam hatinya, bolehkah beliau berterus-terang mengenainya?
Atau jika beliau masih kekal dengan persetujuan bahawa Anwar adalah satu-satu bakal penggantinya, janganlah cuba berubah-ubah nada dalam percakapannya.
Cukuplah rakyat mendengar sandiwara perkataan “mungkin dua tahun, mungkin lebih dan mungkin kurang” yang selalu diulang-ulangnya sebelum ini yang akhirnya ternyata mahu tempoh tiga tahun pula kebelakangan ini.
Tidak guna sebenarnya jika Tun Mahathir hanya tunjuk berani mengkritik kuasa besar dunia di pentas PBB, tetapi masih takut untuk berterus-terang apa yang ada dalam hatinya dan berkaitan negaranya sendiri.
Tun, dalam usia bonus yang diberi Tuhan hidup di dunia ini, cubalah untuk melaluinya dengan jujur, ikhlas dan jangan berbelit-belit macam PM4 dulu.
SST – Sudah-sudahlah Tun!!! (Shahbudindotcom 04/10/2019)