Kelantan perlu ke mahkamah selesai isu lokasi telaga minyak
Royalti tidak akan diberi mengikut kehendak kerajaan Kelantan sekitar RM1 bilion setahun selagi mana kawasan sepadan negeri lokasi telaga petroleum tidak diselesaikan oleh mahkamah.
Bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim berkata, selagi isu itu tidak selesai maka jumlah sebenar royalti akan terus dipertikaikan.
“Dulu tak dapat atas alasan tak layak kerana kedudukannya tak ditentukan. Sekarang pun saya rasa isunya masih sama.
“Sebab itu saya hairan kenapa sebelum ini Kelantan tarik balik saman,” katanya dipetik.
Menurut Zaid, undang-undang maritim antarabangsa menggariskan sebuah negeri itu berhak ke atas hasil minyak dan gas dalam lingkungan 12 batu nautika dari pantainya.
Kelantan sebelum ini merujuk kes itu ke mahkamah selepas mendakwa Petronas melanggar Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 dengan tidak membayar royalti bagi hasil di kawasan laut yang bertindih antara Kelantan-Thailand, Kelantan-Vietnam dan Kelantan-Terengganu.
Kes itu ditarik balik pada tahun lalu selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berjanji akan memenuhi permintaan negeri, yang sudah menuntutnya bertahun-tahun sejak era BN lagi.
Mengulas kenapa Terengganu tiada masalah berkaitan royalti, Zaid berkata tiada pertikaian berkaitan kedudukan telaga minyak di negeri itu sama ada dalam kawasan negeri atau pusat.
Walaupun dimasukkan terus ke akaun negeri, Kelantan menolak bayaran RM28 juta yang dibuat pada mereka sebagai royalti.
Mereka menuntut bayaran tertunggak lebih dari RM1 bilion dan membayangkan akan mengheret kembali isu itu di mahkamah, jika perlu.