Habis penggal: Bukan pembangkang calonkan Tun M PM
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad membuat kenyataan membidas usaha pembangkang merumitkan proses peralihan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam sidang media di Ashgabat semalam, Dr Mahathir berkata, pembangkang sama sekali tidak layak membuat gesaan agar beliau kekal sehingga tamat penggal ke-14.
Gesaaan dibuat pembangkang jelasnya sekadar pendapat mereka.
“Kalau dulu dia (pembangkang) cadang saya jadi perdana menteri sebelum adakan PRU ke-14, dia ada hak nak suruh saya duduk lama atau bila sampai masanya,” kata Dr Mahathir.
Terdahulu, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mengesa Dr Mahathir kekal perdana menteri sehingga berakhir penggal ini, kenyataan itu bertentangan dengan kenyataan sinis dibuatnya sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lalu yang memperkecilkan lantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri mewakili Pakatan Harapan (HARAPAN).
Sesetengah pihak melihat tindakan Abdul Hadi itu sebagai usaha menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri ke-8.
Selain Abdul Hadi, Timbalan Presiden KEADILAN, Mohammad Azmin Ali yang dikaitkan dengan usaha menjatuhkan kerajaan HARAPAN didalangi sepupu bekas Presiden Umno, Hishammuddin Hussein juga membuat gesaan serupa.
Khamis lalu, enam ahli Parlimen Umno turut menyuarakan sokongan kepada Dr Mahathir. Seolah-olah dirancang, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan pula memberi jaminan semua anggota parlimen parti itu memberi sokongan kepada Dr Mahathir.
Menjawab sokongan itu, Dr Mahathir menganggap ia sebagai usaha sia- sia.
“Yang akan menentukan (saya sebagai perdana menteri) ialah Majlis Presiden HARAPAN. Kita (Majlis Presiden ) yang akan putuskan,” tegasnya.
Sebagai rekod, sistem digunakan HARAPAN untuk kerusi perdana menteri ialah berlawanan dengan sistem dipraktik Barisan Nasional (BN).
Kedudukan seseorang perdana menteri adalah ditentukan oleh Majlis Presiden yang dianggotai pemimpin tertinggi parti-parti di dalam gabungan itu – RF8 Media