Guna kuasa politik bantu penduduk tempatan
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa ahli politik di negara ini menggunakan pengaruh mereka untuk mencari sesuatu bagi disumbangkan kepada rakyat.
Tegas Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, kepentingan rakyat merupakan agenda utama yang perlu diangkat pemimpin dan bukannya menggunakan pengaruh untuk mengejar kepentingan diri sendiri.
“Rasulullah SAW dalam hadis baginda mengungkapkan Addabani Rabbi Faahsana Ta’dibi ber-maksud Tuhanku didiklah aku dengan didikan yang ter-baik dan sekiranya kita tercerna dari semangat Addabani Rabbi ini maka kita tidak akan cenderung ke arah politik sempit, mengadu domba, perkauman termasuk rasuah, maka kita akan dapat gunakan (pengaruh) untuk membela nasib rakyat.
“Sebab itu saya selalunya akan pastikan setiap pelabur yang datang saya akan cari jalan untuk dapatkan peruntukan daripada mereka yang boleh disumbangkan semula kepada rakyat … daripada ambil duit untuk komisen dan rasuah yang sudah jahanamkan negara lebih baik gunakan pengaruh kita bantu rakyat,” katanya.
Anwar sebelumnya berucap semasa Lawatan Rasmi Ahli Parlimen ke Sekolah Kebangsaan (SK) Intan Perdana di Port Dickson semalam
Tambah Anwar lagi, pemimpin juga wajar memastikan kehadiran pelabur turut sama dapat memberi manfaat kepada rakyat setempat dan tidak hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja.
“Takkan rakyat tengok sahaja hotel yang mahal-mahal ini? Maka pihak hotel bercadang akan adakan team park bersebelahan hotel yang dibuka kepada orang awam dengan harga kadar bayaran lebih murah.
“Saya juga ada minta daripada pihak hotel berikan latihan kepada anak muda di Port Dickson. Mereka perlukan pekerja segera 400 orang dan apabila siap perlukan 600 pekerja dengan kemudahan perumahan pekerja juga akan dibangunkan… ini apa yang dipersetujui pihak hotel,” katanya.
Anwar baru-baru ini turut mendedahkan bahawa pihaknya ada meminta sebuah syarikat teknologi terbesar Jepun berkongsi kepakaran dengan sekolah menengah di Port Dickson sekaligus dijadikan anak angkat kepada syarikat itu.
Difahamkan, proses pemilihan sekolah berkenaan kini dalam peringkat penilaian.