Gelombang tolak Umno masih kuat di Kedah, kerjasama sukar
Meskipun sudah menjalinkan kerjasama, tidak begitu mudah untuk Pas dan Umno meraih sokongan pengundi di Kedah pada pilihan raya akan datang.
Pengarah Komunikasi Amanah Kedah, Ustaz Ridzwan Abu Bakar berkata, sukar untuk Pas-Umno meraih sokongan di beberapa kawasan khususnya luar bandar berikutan gelombang menolak Umno yang dibawa sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu masih menebal dalam kalangan masyarakat.
“Di Kedah, Pas menguasai antaranya Baling, PadangTerap, Sik dan kawasan-kawasan yang kuat sisi agamanya. Maksudnya, pada pilihan raya lepas sudah kuat gelombang menolak Umno di kawasan pinggiran bandar.
“Setelah satu setengah dan dua tahun ini atas beberapa perkembangan yang berlaku, ditambah dengan kebiasaan mereka tidak boleh terima Umno. Saya yakin keputusan pilihan raya akan datang tidak semudah campur undi Pas kepada BN. Bukan semudah itu,” katanya dipetik Suara Keadilan.
Menurut Ridzwan, rakyat Kedah juga tidak begitu mudah menolak kebaikan yang dibawa kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) sejak mengambil alih pentadbiran negeri Jelapang Padi itu.
Selain itu, Ridzwan juga berkata Umno kini menghadapi masalah menggerakkan aktiviti berikutan kekurangan peruntukan. Gerak kerja parti itu tidak begitu dilihat di peringkat kampung dan bawahan. Mereka terpaksa bersama Pas untuk melakukan aktiviti
“Oleh kerana itu, dalam beberapa program di peringkat kampung Kedah, ahli tegar Pas seperti dipergunakan. Sebab Umno tidak terbiasa dengan program ceramah di padang dan sebagainya. Memang Umno terpaksa menggunakan Pas,” ujarnya lagi.
Bagaimanapun, jelas Ridzwan kerjasama kedua parti secara kasar menyebabkan penyokong Pas Kedah berpecah kepada tiga kumpulan di sesetengah kawasan.
“Satu kumpulan dari zaman 1960 – 1970an, mereka tiada masalah penyatuan Pas-Umno.
“Kedua adalah generasi hujung 1970an dan awal 1980an, itu yang menjadi masalah. Ini kumpulan yang tidak boleh terima kerana mereka membesar dalam zaman tarbiah Pas. Zaman kebangkitan semula Islam, awal kepimpinan ulama. Kumpulan ini sukar terima (Umno).
“Yang ketiga, menyertai Pas dan aktif pada zaman 1990an atau 2000. Generasi boleh menerima kerjasama itu,” katanya.
Namun tegas Ridzwan, majoriti penyokong akar umbi Pas masih ragu-ragu terhadap kerjasama kedua parti pembangkang berkenaan.
“Apa yang berlaku dan dipasak oleh pemimpin Pas ini bukan lama sangat, baru dua tahun lepas mereka hentam isu 1MDB, isu menafikan kerjasama Umno-Pas,” sinisnya.