Gagal bentuk kerajaan campuran, tiada makna kerjasama Umno-Pas
Rakyat yang tertunggu-tunggu usaha ke arah pembentukan kerajaan campuran Umno – Pas mula kecewa selepas dua minggu termeterainya perjanjian Piagam Muafakat Nasional.
Pada minggu pertama selepas perjanjian 14 September lalu, terdapat komen-komen positif dari pihak Umno agar satu mekanisme pembahagian jawatan exco dalam kerajaan Perlis dilaksanakan.
Namun usaha itu terbantut apabila pemimpin Pas Kelantan dan Terengganu termasuk presiden parti itu, Hj Hadi Awang seolah-olah tidak berminat.
Bagi Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Kamaruddin Md Noor tiada makna perjanjian kerjasama jika tidak disusuli pembentukan kerajaan campuran di peringkat negeri.
Menurut beliau, Pakatan Harapan (PH) suatu ketika dahulu membentuk kerajaan campuran di negeri Selangor dan Pulau Pinang untuk membuktikan mereka mampu memerintah bersama di peringkat Persekutuan.
“Kalau mereka benar-benar serius, boleh terus rombak exco sekarang dan berikan kepada Umno (di Kelantan dan Terengganu).
“Kita dalam PH kotakan janji kesepakatan dan membentuk kerajaan campuran. Malah, semua negeri yang kita kuasai mempunyai wakil daripada keempat-empat parti. Jadi itu sudah nyata dan rakyat boleh lihat.
“Mereka (Umno – Pas) belum dan tidak akan bersedia. Jika mereka mahukan, sudah boleh laksanakan sekarang.
“Di peringkat yang kecil dan bawahan, yang nilainya RM1 pun sukar bertolak ansur, maka nilai RM1 juta (perintah Persekutuan) bolehkah dia bertolak ansur?” katanya dipetik Suara Keadilan.
Untuk rekod PH Pulau Pinang dan Selangor pada 2016 – 2017 lalu telah memasukkan pemimpin Amanah dalam hierarki kepimpinan negeri, daerah dan kampung selepas parti itu menggantikan tempat Pas sebagai komponen gabungan.
Situasi yang sama wajar berlaku di Perlis, Kelantan, Terengganu dan Pahang apabila Pas disahkan sebagai rakan sekutu BN.