BIAR SAJA MCA BERTANDING DI TANJUNG PIAI.


Sekali imbas ternampak kenyataan Tun Mahathir Mohamad yang mahu UMNO meletakkan calonnya seperti menggambarkan keyakinannya bahawa Bersatu mampu memenangi PRK Tanjung Piai yang dijadual pada 16 November depan.
Kata beliau, PH mempunyai peluang lebih baik untuk menang dalam pilihanraya itu jika berhadapan dengan calon UMNO.
“Banyak masalah di situ… kita (PH) berpendapat kita bergantung kepada parti lawan untuk menang.
“Kita minta supaya mereka letak calon daripada UMNO.
“Tolonglah… supaya kita (PH) boleh menang,” katanya lagi.
Bagaimanapun, mengambil kira kedudukan PH, khususnya Bersatu yang lemah dan banyak masalah ketika ini, apa yang dinyatakan oleh Tun Mahathir mungkin hanya suatu “reverse psychology” atau psikologi terbalik semata-mata.
Dalam perbualan dengan banyak pihak, oleh kerana UMNO dan Pas sudah bekerjasama, peluang BN untuk menang adalah jauh lebih baik jika mereka meletakkan calon UMNO yang bertanding di Tanjung Piai.
Lagi pula, Bersatu menang dalam PRU14 lalu hanya dengan majoriti 524 undi sahaja.
Hakikatnya, Bersatu lebih risau jika BN meletakkan calon UMNO berbanding mengekalkan MCA bertanding di situ.
Makanya, dalam konteks psikologi terbalik, apabila Tun Mahathir mengatakan beliau lebih senang jika UMNO yang bertanding, sebenarnya beliau tidak mahu UMNO yang bertanding.
Dengan UMNO disokong oleh Pas, tidak dinafikan lebih sukar untuk Bersatu mengekalkan kemenangannya jika berhadapan dengan calon UMNO, lebih-lebih lagi jumlah pengundi Melayu di Tanjung Piai adalah sekitar 57 peratus.
Tetapi, sekiranya BN mengekalkan MCA yang bertanding, peluang Bersatu nampak lebih mudah, walau bukan terjamin untuk menang dengan selesa.
Ini kerana pilihan pengundi, khususnya pengundi bukan Melayu tidak lagi sama seperti PRU14 lalu.
Banyak perkara yang sudah berubah antara sekarang berbanding Mei 2018 lalu. Yang marah, yang tak puas hati dan yang kecewa terhadap kerajaan boleh dilihat di merata-rata sekarang ini.
Dengan kalah hanya 524 undi, peluang MCA tetap ada dalam pilihanraya kecil ini, walau mungkin tidak sebaik peluang yang ada jika UMNO yang bertanding.
Tetapi, bagi BN, jika MCA yang bertanding dan akhirnya masih mampu mengalahkan calon Bersatu yang mewakili PH, ia tentunya jauh bermakna berbanding kemenangan yang dicapai melalui UMNO.
Oleh itu, eloklah MCA dikekalkan bertanding sekali lagi di Tanjung Piai.
Kita lihat sama ada Bersatu masih mampu mengekalkan kemenangannya atau tidak.
Kalau dengan MCA pun tak mampu untuk menang, bermakna bukan saja masa depan Bersatu akan kelam, malah gambaran masa depan PH selagi diterajui oleh Tun Mahathir, sebenarnya adalah suram. (ShahbudinHusin 08/10/2019)