Bersatu Tanjung Piai serah 3 nama calon
Bersatu Bahagian Tanjung Piai dilaporkan menyerah 3 nama untuk dipertimbangkan sebagai calon dalam pilihan raya kecil. Pengumuman nama calon dijangka akan dilakukan pada 30 Oktober ini.
Ketua Bersatu Tanjung Piai, Karmaine Sardini berkata majlis pengumuman calon itu akan diadakan di dataran terbuka berhadapan Dewan Jubli Intan.
“Setakat ini kita sudah menyerahkan tiga nama calon kepada pucuk pimpinan untuk diteliti dan diputuskan. Semua tiga yang dinamakan itu pemimpin PPBM Bahagian Tanjung Piai,” katanya dipetik.
Karmaine berkata antara kriteria calon yang ditetapkan itu adalah anak tempatan, berpengalaman dalam politik dan latar pendidikan yang baik.
Ditanya mengenai gerak kerja pilihan raya, Karmaine berkata usaha akan ditumpukan kepada 16 Pusat Daerah Mengundi yang mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lepas.
PRK Parlimen Tanjung Piai ditetapkan 16 Nov depan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Md Farid Md Rafik, 42, pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.