Baru-baru ini Anwar Ibrahim telah mendedahkan sebab mengapa Tun Mahathir Mohamad tidak mahu menentukan tarikh sebenar untuk menyerahkan jawatan kepadanya.
Menurut beliau, Tun Mahathir memberitahunya, soalan media yang berterusan tentang peralihan kuasa seolah-olah menggesanya segera meletakkan jawatan sehingga membuatkannya seperti seorang Perdana Menteri yang tidak berfungsi.
“Tun Mahathir telah mengulangi kata-katanya, tetapi biasalah Tun Mahathir kadang-kadang kata setahun (lagi), dua tahun, tiga tahun dan ia kelihatan seperti beliau mahu mengelak.
"Saya kata tidak, saya adalah Perdana Menteri menunggu dan orang ramai terus-menerus (bertanya), pada setiap sidang media (termasuk) CNN bertanya bila anda (Tun Mahathir) akan bersara.
"Saya takkan pandang ringan perkara ini. Berikan beliau masa dan teruskan (tugasnya). Itu adalah apa yang beliau katakan kepada saya dan saya menghargai tindakannya.
"Katanya, Anwar, saya telah janji dan saya akan kotakannya. Tapi jangan macam ini - paksa saya, buat saya umumkan tarikh sebenar kerana saya akan jadi (seperti) Perdana Menteri yang tidak berfungsi (lame duck),” jelas Anwar lagi.
Sehubungan itu, Anwar turut mengingatkan bahawa ada perjanjian bertulis berhubung peralihan kuasa tersebut yang menyatakan bahawa Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri dan seterusnya beliau akan mengambil alih selepas dibebaskan dari penjara.
Tambah Anwar, tidak adil bagi Tun Mahathir, dirinya dan negara jika orang ramai tidak henti-henti membuat spekulasi berhubung perkara itu.
Justeru, Anwar yang merupakan Ahli Parlimen Port Dickson meminta semua pihak tidak terus bertanyakan kepada Dr Mahathir berhubung peralihan kuasa yang sudah dipersetujui itu.
Bagaimanapun semalam, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata di Dewan Rakyat, kekaburan tentang peralihan kuasa daripada Tun Mahathir kepada Anwar boleh menjejaskan keyakinan pelabur ke negara ini.
“Keputusan pelaburan di Malaysia sangat dipengaruhi oleh kepastian dalam politik.
“Oleh sebab kini wujudnya ketidaktentuan politik berikutan kekaburan berhubung peralihan kuasa, sektor swasta merosot kerana sektor perniagaan tidak sedia membuat pelaburan berikutan hala tuju ekonomi yang tidak jelas,” kata bekas Menteri Belia dan Sukan itu.
Dalam hal ini, rata-rata ramai yang bersetuju dengan pandangan KJ, tambahan lagi Tun Mahathir sudah berusia lebih 94 tahun dan apa-apa saja boleh berlaku kepadanya dalam bila-bila masa.
Maka itu, kepastian tentang peralihan kuasa atau penyerahan jawatan itu semestinya dipersiapkan lebih awal untuk mengelakkan kekalutan yang sukar dijangka di masa akan datang.
Mengikut janji mulut awal Tun Mahathir sendiri, beliau hanya mahu menjadi Perdana Menteri selama dua tahun saja bagi membolehkannya memperbaiki kerosakan negara dan memulihkan ekonomi.
Tempoh dua tahun bermula daripada tarikh mengangkat sumpah pada 10 Mei 2018 ialah 10 Mei 2020.
Sesuai dengan pandangan KJ yang dipersetujui ramai bahawa kekaburan tentang peralihan kuasa itu mesti segera diberi pencerahan demi kebaikan negara dan agar kesuraman ekonomi dapat dipulihkan, adalah dirasakan sebaik-sebaiknya menjelang awal tahun 2020 iaitu tahun depan, penyerahan jawatan kepada Anwar itu sudah pun ada tarikhnya yang khususnya.
Tidak boleh lagi ketidaktentuan dibiarkan berterusan kerana nampaknya selagi tiada kepastian, lagi banyak kekalutan dalam politik dan kesuraman ekonomi yang berpanjangan.
Bermakna, menjelang awal tahun depan, tarikh untuk Anwar menjadi Perdana Menteri ke-8, tidak boleh tidak, mesti segera ditentukan bagi mengelakkan segala ketidaktentuan.
Dengan adanya tarikh penyerahan jawatan itu, ketidaktentuan dalam politik dan ekonomi dapat segera ditamatkan.
Dengannya juga, Anwar dapat mempersiapkan dirinya untuk menerajui negara ini.
Dan dengan sendirinya selepas itu tiadalah lagi suara seperti mendesak Tun Mahathir meletakkan jawatan atau pihak berkepentingan yang memintanya menjadi Perdana Menteri sehingga habis penggal.
Bukankah ia sesuatu yang lebih baik untuk kita semua?
Tun Mahathir pun seharusnya rasional dalam hal ini dan tidak hanya memikirkan kedudukannya yang mungkin tidak lagi berfungsi apabila tarikh penyerahan jawatan sudah ditentukan, tetapi harus juga memikirkan kedudukan Anwar dan PH yang turut dilihat tidak berfungsi apabila ketidaktentuan mengenai peralihan kuasa masih lagi berterusan.
Lagi pula, ketika Tun Mahathir pada 2002 dahulu dengan sukarela menetapkan tarikh penyerahan jawatannya pada 31 Oktober 2003 kepada Tun Abdullah Badawi, dalam jangka masa hampir setahun tempoh peralihan waktu itu, adakah beliau menjadi Perdana Menteri yang tidak berfungsi?
Bukankah ketika itu masih banyak projek besar untuk negara, antaranya pembinaan rel berkembar Utara ke Selatan dan Jambatan Bengkok di Johor Bahru masih dapat dipersetujui oleh kabinet? (ShahbudinHusin 15/10/2019)